Titis-titis hujan masih turun membasahi bumi. Aku memandang ke luar jendela.
Termenung. Itulah rutinku yang semakin sebati dengan diriku hari demi hari. Satu
keluhan keluar dari bibirku. Lantas aku melarikan pandanganku ke ruang bilikku.
Mataku terhenti pada bingkai gambar yang setia berada di sebelah tempat
tidurku. Tanganku mencapai bingkai gambar itu. Mengamati raut wajah yang
menghiasi sekeping gambar itu. Ceria. Alangkah indahnya saat itu. Teringat
pertemuan kita kali pertama.
“Saya jahil. Saya tak tahu apa-apa
tentang Islam walaupun dalam IC saya tertulis agama Islam. Di bangku sekolah
menengah lagi, saya dah berjinak dengan arak, dengan kelab malam. Hidup saya
terlaulu jahil awak.
Solat, puasa, semua saya tak pernah ambil kisah.” Amir
Asyraf.
“Kenapa awak tak ambil kisah pasal solat, puasa ? Bukankah itu kewajiban
kita sebagai umat islam untuk kita tunaikan?” Khaulaf Damia.
“Saya terlalu lama menetap di London. Bahkan ahli keluarga saya langsung
tidak pernah solat apatah lagi nak puasa. Awak, boleh tolong saya?’
“Tolong apa ?’
“Tolong ajarkan saya agama Islam awak. Saya terlalu jauh dengan-Nya.”
Mula-mula saya agak keberatan sebab saya bukannya arif sangat. Tetapi awak
berkeras nak belajar dengan saya. Akhirnya, atas dasar persaudaraan sesama
Islam, saya setuju. Mulai hari itu, awak selalu datang kelas mengaji yang saya
adakan. Mula-mula saya rasa nak gelak pun ada sebab awaklah anak murid saya
yang paling tua. Masa tu awak baru baca Iqra’ dengan saya. Dengan berkat usaha
dan kesabaran awak, tak sampai 3 bulan awak dah boleh baca Al-Quran. Saya ajar
awak macam-macam. Pasal solat, haji, zakat dan puasa. Hati awak memang cerah,
sekejap sahaja saya ajar tentang solat, kemudian awak dah boleh solat sendiri.
Kita pun selalu solat bersama-sama.
Petang tu, saya membacakan azab-azab yang diterima oleh penghuni neraka. Air
mata awak bergenang. Awak, awak terasa hati dengan saya ke?? Sejak hari tu,
awak dah tak datang ke masjid. Awak tahu, seminggu awak tak datang, seminggu tu
jugalah saya jadi penunggu setia kat masjid. Kemudian, pada satu petang awak
datang pada saya. Saat saya melihat awak, ada satu perasaan hadir dalam diri
saya. Tetapi saya tak tahu apa perasaan itu. Awak datang petang tu bukan sebab
nak belajar agama dengan saya tapi sebab awak nak ajak saya kahwin. Apa,
kahwin?? Saya terus pitam.
“Mia, sudi tak awak jadi pemaisuri di hati Amir. Sudi tak kahwin dengan
Amir?”
“Hah? Kahwin?? Err.. Mana boleh. Jangan buat gila Amir”
“Please, Mia. Saya merayu dekat awak, Mia. Kalau awak jadi isteri saya, lagi
banyak masa awak boleh ajar saya tentang Islam. Tolong Mia, masa saya semakin
suntuk.”
Resah melihat awak yang begitu mengharap,
akhirnya saya setuju. Tetapi saya betul-betul
tak faham dengan ayat terakhir awak. ‘masa saya semakin suntuk’ yang awak
katakan tadi.
Perkahwinan kita berlangsung lepas tu walaupun ditentang secara hebat oleh
keluarga awak. Abah saya pula bersetuju walaupun agak terkejut dengan keputusan
mendadak saya. Yelah, saya baru 18 tahun dah bekahwin dengan orang yang lapan
tahun lagi tua dari saya. Saya ingat lagi, sehari lepas kita kahwin, awak bawa
saya jumpa keluarga awak. Teruk saya dihina dan dicerca. Luluh hati saya, awak.
Panggg!!! Satu tamparan singgah di pipi gebuku.
“Dasar perempuan pisau cukur. Ada hati cakap anak aku yang beria-ria ajak
kau kahwin. Kau sebenarnya nak kikis harta anak aku kan ?” Datin Mariana Musa.
Saya memandang awak. Pelik. Awak langsung tak buka mulut untuk pertahankan
saya. Awak hanya diam dan memerhatikan saya diserang keluarga awak. Sampai hati
awak.
Keesokan harinya, kita pindah ke kondominium milik awak di Kota Damansara. Tetapi
sepanjang kita kahwin, tak pernah sekali pun awak sentuh saya. Saya sering
tertanya-tanya kenapa awak kahwini saya kalau awak tak nak miliki saya
sepenuhnya. Awak anggap saya sebagai cikgu awak. Saya panggil awak abang Amir,
awak panggil saya Ustazah Damia. Pelikkan.
Hari demi hari berlalu menjadikan kehidupan kita semakin bahagia. Saya rasa
ada perasaan aneh yang hinggap di sarang hati saya setiap kali saya bersama
awak. Tapi saya tak tahu apa perasaan itu.
Pada suatu malam, selepas kita sama-sama solat Isyak berjemaah, awak pegang
tangan saya lagi. Saya duduk berhadapan dengan awak. Awak tenung saya. Mata
hazel awak seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu. Tapi, awak hanya berdiam
diri. Kemudian, saya bangun dan beredar ke bilik saya. Tiba-tiba awak ketuk
pintu bilik saya. Apabila pintu kayu itu saya buka, awak terus masuk. Pintu
bilik saya awak tutup. Awak tarik saya ke cermin. Saya dapat lihat diri awak
yang sedang memeluk saya dari arah belakang dengan erat sekali pada cermin itu.
Walaupun hati saya berdebar-debar waktu itu, tapi saya bahagia. Awak hampir
kucup bibir saya. Hanya tinggal seinci, awak seolah-olah tersedar dari lamunan.
Awak lepaskan pelukan awak pada badan saya. Sebelum awak pergi, awak minta maaf
pada saya. Selepas awak keluar, saya menangis. Saya sedih awak. Awak
seolah-olah tidak sudi menyentuh saya walau seinci pun.
Suatu hari, ketika kita sedang menjemur pakaian bersama-sama, hidung awak
tiba-tiba berdarah. Darah awak banyak sangat..wajah awak pucat. Hati saya
dipagut rasa cemas yang teramat sangat. Dan, awak pitam. Saya menjerit bagai
orang histeria. Dengan bantuan jiran, saya hantar awak ke hospital. Di sana
barulah saya mengerti kata-kata awak ‘masa saya sudah semakin suntuk’. Kenapa
awak tak pernah beritahu saya yang awak sakit leukemia. Saya menangis dan terus
menangis. Dua hari awak tidak sedarkan diri.
Baru saya mengerti, kenapa awak tak pernah nak sentuh saya. Awak tak nak
beri zuriat yang mungkin berpenyakit leukemia seperti awak. Mulia sungguh hati
awak. Malam tu, awak beritahu saya sebab kenapa awak nak bunuh diri. Awak tak
boleh terima penyakit yang awak hadapi. Dan awak nak kahwin dengan saya sebab awak
nak seseorang yang boleh membimbing awak ke jalan yang benar. Awak tak nak mati
tanpa bertaubat. Awak juga jujur dengan saya. Awak cakap saya bukan cinta
sejati awak kerana cinta sejati awak hanya pada Islam dan Allah. Saya akui agak
terkilan kerana saya bukan cinta sejati awak tetapi biarlah. Pada saya,
dicintai awak sudah cukup bermakna.
Awak berkeras tak nak buat sebarang rawatan. Keadaan awak semakin teruk.
Rambut awak sudah semakin sikit. Wajah awak cengkung. Badan awak kurus sangat.
Awak hanya mampu duduk di kerusi malas. Di kerusi malas itulah awak solat. Tetapi
saya kagum dengan awak sebab awak masih berpuasa walaupun awak diberi ruksakh
untuk berbuka. Awak tetap berpuasa walaupun kadang-kadang awak menggigil sebab
terlampau sakit. Hari-hari awak habiskan masa awak di kerusi malas sambil
menghafal surah-surah Al-Quran melalui mp3 yang ditekapkan di telinga awak.
Setiap kali awak dengar surah Yaasin, air mata awak akan bergenangan.
Sepuluh malam terakhir Ramadhan, awak berdegil tak mahu tidur sebab nak
tunggu malam Lailatul Qadar. Saya marah awak. Takut kesihatan awak terganggu. Tetapi
awak cakap, awak tetap nak tunggu malam Lailatul Qadar kerana awak takut awak
tidak sempat untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Selalunya, saya
akan tertidur di sisi kerusi malas awak. Dan apabila saya tersedar, awak juga sudah
terlena. Wajah awak sentiasa senyum. Saya akui takut untuk membiarkan awak
tidur kerana saya takut awak akan terus tertidur dan tak akan bangun-bangun
lagi.
Malam terakhir puasa, awak kelihatan ceria. Awak ajak saya buat terawih.
Awak, awak solat terawih ke solat sunat taubat. Awak sujud terlalu lama. Saya
seperti sudah mengerti sesuatu. Saya teruskan solat terawih sementara awak
masih begitu. Sujud menyembah Tuhan. Dan selepas 12 rakaat selesai saya
kerjakan, awak tetap begitu. Masih lagi sujud.
Awak dah pergi. Saya tahu awak letih sangat dan awak nak tidur. Saya
baringkan awak di atas sejadah itu. Darah yang mengalir dari hidung awak saya
bersihkan. Wajah awak tenang macam bayi yang sedang nyenyak tidur. Tanpa
membuka kain telekung, saya terus berbaring di sebelah awak di atas sejadah itu.
Saya tertidur sampai azan hari raya Aidilfitri berkumandang. Hajat awak nak
beraya tidak kesampaian. Tetapi hajat awak untuk berpuasa penuh dan solat
terawih serta tahajjud sepanjang Ramadhan terlaksana.
Setiap hari saya akan ke kubur awak dan menangis di situ. Saya meraung-raung
teringatkan awak. Saya rindukan awak. Senyuman dan panahan mata awak. Saya
rindukan cinta awak, Amir. Suatu hari, sewaktu saya sedang menangis di pusara
awak, abah saya datang dan tampar saya. Saya terkejut dan tangisan saya terus
berhenti. Abah menyedarkan saya semula. Abah cakap saya menyeksa awak di sana.
Saya meratapi pemergian awak dan lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai
seorang muslim. Abah cakap roh awak tak akan tenang kerana saya tak mahu
lepaskan awak. Saya seolah-olah tersedar semula dari mimpi yang panjang. Awak,
maafkan saya sebab kelakuan saya mungkin menyeksa awak di sana.
Kini saya sudah tidak menangisi pemergian awak. Saya sudah bangkit menjadi Khaulah
Damia yang dahulu. Damia yang tabah dan kuat kerana saya tahu walau saya
menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, keadaan tetap tidak akan berubah.
Awak tetap pergi dari hidup saya.
Saya mengambil masa tidak sampai seminit untuk membenci awak, saya mengambil
masa kurang sebulan untuk mencintai awak. Tetapi saya memerlukan masa sepanjang
hidup saya untuk melupakan awak. Awak dah bertakhta di hati saya. Kata orang
cinta yang dilepaskan akan kembali jika ia cinta sejati kita. Tetapi harus saya
akui awak memang bukan cinta sejati saya. Cinta sejati dan hakiki saya hanya
pada-Nya.
-SEKIAN-