Thursday 5 November 2015

Pembangunan Belia - CERPEN : Kau Bukan Cinta Hakiki




Titis-titis hujan masih turun membasahi bumi. Aku memandang ke luar jendela. Termenung. Itulah rutinku yang semakin sebati dengan diriku hari demi hari. Satu keluhan keluar dari bibirku. Lantas aku melarikan pandanganku ke ruang bilikku. Mataku terhenti pada bingkai gambar yang setia berada di sebelah tempat tidurku. Tanganku mencapai bingkai gambar itu. Mengamati raut wajah yang menghiasi sekeping gambar itu. Ceria. Alangkah indahnya saat itu. Teringat pertemuan kita kali pertama.

 “Saya jahil. Saya tak tahu apa-apa tentang Islam walaupun dalam IC saya tertulis agama Islam. Di bangku sekolah menengah lagi, saya dah berjinak dengan arak, dengan kelab malam. Hidup saya terlaulu jahil awak.
Solat, puasa, semua saya tak pernah ambil kisah.” Amir Asyraf.

“Kenapa awak tak ambil kisah pasal solat, puasa ? Bukankah itu kewajiban kita sebagai umat islam untuk kita tunaikan?” Khaulaf Damia.

“Saya terlalu lama menetap di London. Bahkan ahli keluarga saya langsung tidak pernah solat apatah lagi nak puasa. Awak, boleh tolong saya?’

“Tolong apa ?’

“Tolong ajarkan saya agama Islam awak. Saya terlalu jauh dengan-Nya.”

Mula-mula saya agak keberatan sebab saya bukannya arif sangat. Tetapi awak berkeras nak belajar dengan saya. Akhirnya, atas dasar persaudaraan sesama Islam, saya setuju. Mulai hari itu, awak selalu datang kelas mengaji yang saya adakan. Mula-mula saya rasa nak gelak pun ada sebab awaklah anak murid saya yang paling tua. Masa tu awak baru baca Iqra’ dengan saya. Dengan berkat usaha dan kesabaran awak, tak sampai 3 bulan awak dah boleh baca Al-Quran. Saya ajar awak macam-macam. Pasal solat, haji, zakat dan puasa. Hati awak memang cerah, sekejap sahaja saya ajar tentang solat, kemudian awak dah boleh solat sendiri. Kita pun selalu solat bersama-sama.

Petang tu, saya membacakan azab-azab yang diterima oleh penghuni neraka. Air mata awak bergenang. Awak, awak terasa hati dengan saya ke?? Sejak hari tu, awak dah tak datang ke masjid. Awak tahu, seminggu awak tak datang, seminggu tu jugalah saya jadi penunggu setia kat masjid. Kemudian, pada satu petang awak datang pada saya. Saat saya melihat awak, ada satu perasaan hadir dalam diri saya. Tetapi saya tak tahu apa perasaan itu. Awak datang petang tu bukan sebab nak belajar agama dengan saya tapi sebab awak nak ajak saya kahwin. Apa, kahwin?? Saya terus pitam.

“Mia, sudi tak awak jadi pemaisuri di hati Amir. Sudi tak kahwin dengan Amir?”

“Hah? Kahwin?? Err.. Mana boleh. Jangan buat gila Amir”

“Please, Mia. Saya merayu dekat awak, Mia. Kalau awak jadi isteri saya, lagi banyak masa awak boleh ajar saya tentang Islam. Tolong Mia, masa saya semakin suntuk.”

Resah melihat awak yang begitu mengharap,  akhirnya saya setuju. Tetapi saya betul-betul tak faham dengan ayat terakhir awak. ‘masa saya semakin suntuk’ yang awak katakan tadi.

Perkahwinan kita berlangsung lepas tu walaupun ditentang secara hebat oleh keluarga awak. Abah saya pula bersetuju walaupun agak terkejut dengan keputusan mendadak saya. Yelah, saya baru 18 tahun dah bekahwin dengan orang yang lapan tahun lagi tua dari saya. Saya ingat lagi, sehari lepas kita kahwin, awak bawa saya jumpa keluarga awak. Teruk saya dihina dan dicerca. Luluh hati saya, awak. 
Panggg!!! Satu tamparan singgah di pipi gebuku.

“Dasar perempuan pisau cukur. Ada hati cakap anak aku yang beria-ria ajak kau kahwin. Kau sebenarnya nak kikis harta anak aku kan ?” Datin Mariana Musa.

Saya memandang awak. Pelik. Awak langsung tak buka mulut untuk pertahankan saya. Awak hanya diam dan memerhatikan saya diserang keluarga awak. Sampai hati awak.

Keesokan harinya, kita pindah ke kondominium milik awak di Kota Damansara. Tetapi sepanjang kita kahwin, tak pernah sekali pun awak sentuh saya. Saya sering tertanya-tanya kenapa awak kahwini saya kalau awak tak nak miliki saya sepenuhnya. Awak anggap saya sebagai cikgu awak. Saya panggil awak abang Amir, awak panggil saya Ustazah Damia. Pelikkan.

Hari demi hari berlalu menjadikan kehidupan kita semakin bahagia. Saya rasa ada perasaan aneh yang hinggap di sarang hati saya setiap kali saya bersama awak. Tapi saya tak tahu apa perasaan itu.
Pada suatu malam, selepas kita sama-sama solat Isyak berjemaah, awak pegang tangan saya lagi. Saya duduk berhadapan dengan awak. Awak tenung saya. Mata hazel awak seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu. Tapi, awak hanya berdiam diri. Kemudian, saya bangun dan beredar ke bilik saya. Tiba-tiba awak ketuk pintu bilik saya. Apabila pintu kayu itu saya buka, awak terus masuk. Pintu bilik saya awak tutup. Awak tarik saya ke cermin. Saya dapat lihat diri awak yang sedang memeluk saya dari arah belakang dengan erat sekali pada cermin itu. Walaupun hati saya berdebar-debar waktu itu, tapi saya bahagia. Awak hampir kucup bibir saya. Hanya tinggal seinci, awak seolah-olah tersedar dari lamunan. Awak lepaskan pelukan awak pada badan saya. Sebelum awak pergi, awak minta maaf pada saya. Selepas awak keluar, saya menangis. Saya sedih awak. Awak seolah-olah tidak sudi menyentuh saya walau seinci pun.

Suatu hari, ketika kita sedang menjemur pakaian bersama-sama, hidung awak tiba-tiba berdarah. Darah awak banyak sangat..wajah awak pucat. Hati saya dipagut rasa cemas yang teramat sangat. Dan, awak pitam. Saya menjerit bagai orang histeria. Dengan bantuan jiran, saya hantar awak ke hospital. Di sana barulah saya mengerti kata-kata awak ‘masa saya sudah semakin suntuk’. Kenapa awak tak pernah beritahu saya yang awak sakit leukemia. Saya menangis dan terus menangis. Dua hari awak tidak sedarkan diri.

Baru saya mengerti, kenapa awak tak pernah nak sentuh saya. Awak tak nak beri zuriat yang mungkin berpenyakit leukemia seperti awak. Mulia sungguh hati awak. Malam tu, awak beritahu saya sebab kenapa awak nak bunuh diri. Awak tak boleh terima penyakit yang awak hadapi. Dan awak nak kahwin dengan saya sebab awak nak seseorang yang boleh membimbing awak ke jalan yang benar. Awak tak nak mati tanpa bertaubat. Awak juga jujur dengan saya. Awak cakap saya bukan cinta sejati awak kerana cinta sejati awak hanya pada Islam dan Allah. Saya akui agak terkilan kerana saya bukan cinta sejati awak tetapi biarlah. Pada saya, dicintai awak sudah cukup bermakna.

Awak berkeras tak nak buat sebarang rawatan. Keadaan awak semakin teruk. Rambut awak sudah semakin sikit. Wajah awak cengkung. Badan awak kurus sangat. Awak hanya mampu duduk di kerusi malas. Di kerusi malas itulah awak solat. Tetapi saya kagum dengan awak sebab awak masih berpuasa walaupun awak diberi ruksakh untuk berbuka. Awak tetap berpuasa walaupun kadang-kadang awak menggigil sebab terlampau sakit. Hari-hari awak habiskan masa awak di kerusi malas sambil menghafal surah-surah Al-Quran melalui mp3 yang ditekapkan di telinga awak. Setiap kali awak dengar surah Yaasin, air mata awak akan bergenangan.

Sepuluh malam terakhir Ramadhan, awak berdegil tak mahu tidur sebab nak tunggu malam Lailatul Qadar. Saya marah awak. Takut kesihatan awak terganggu. Tetapi awak cakap, awak tetap nak tunggu malam Lailatul Qadar kerana awak takut awak tidak sempat untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Selalunya, saya akan tertidur di sisi kerusi malas awak. Dan apabila saya tersedar, awak juga sudah terlena. Wajah awak sentiasa senyum. Saya akui takut untuk membiarkan awak tidur kerana saya takut awak akan terus tertidur dan tak akan bangun-bangun lagi.

Malam terakhir puasa, awak kelihatan ceria. Awak ajak saya buat terawih. Awak, awak solat terawih ke solat sunat taubat. Awak sujud terlalu lama. Saya seperti sudah mengerti sesuatu. Saya teruskan solat terawih sementara awak masih begitu. Sujud menyembah Tuhan. Dan selepas 12 rakaat selesai saya kerjakan, awak tetap begitu. Masih lagi sujud.

Awak dah pergi. Saya tahu awak letih sangat dan awak nak tidur. Saya baringkan awak di atas sejadah itu. Darah yang mengalir dari hidung awak saya bersihkan. Wajah awak tenang macam bayi yang sedang nyenyak tidur. Tanpa membuka kain telekung, saya terus berbaring di sebelah awak di atas sejadah itu. Saya tertidur sampai azan hari raya Aidilfitri berkumandang. Hajat awak nak beraya tidak kesampaian. Tetapi hajat awak untuk berpuasa penuh dan solat terawih serta tahajjud sepanjang Ramadhan terlaksana.

Setiap hari saya akan ke kubur awak dan menangis di situ. Saya meraung-raung teringatkan awak. Saya rindukan awak. Senyuman dan panahan mata awak. Saya rindukan cinta awak, Amir. Suatu hari, sewaktu saya sedang menangis di pusara awak, abah saya datang dan tampar saya. Saya terkejut dan tangisan saya terus berhenti. Abah menyedarkan saya semula. Abah cakap saya menyeksa awak di sana. Saya meratapi pemergian awak dan lupa tunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Abah cakap roh awak tak akan tenang kerana saya tak mahu lepaskan awak. Saya seolah-olah tersedar semula dari mimpi yang panjang. Awak, maafkan saya sebab kelakuan saya mungkin menyeksa awak di sana.

Kini saya sudah tidak menangisi pemergian awak. Saya sudah bangkit menjadi Khaulah Damia yang dahulu. Damia yang tabah dan kuat kerana saya tahu walau saya menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun, keadaan tetap tidak akan berubah. Awak tetap pergi dari hidup saya.

Saya mengambil masa tidak sampai seminit untuk membenci awak, saya mengambil masa kurang sebulan untuk mencintai awak. Tetapi saya memerlukan masa sepanjang hidup saya untuk melupakan awak. Awak dah bertakhta di hati saya. Kata orang cinta yang dilepaskan akan kembali jika ia cinta sejati kita. Tetapi harus saya akui awak memang bukan cinta sejati saya. Cinta sejati dan hakiki saya hanya pada-Nya.

-SEKIAN-
 

No comments:

Post a Comment