MATANYA dipejam rapat. Sesekali dia
menghembus nafas dengan kuat. Seperti sukar untuk dia mengungkapkan apa yang
terbuku di hatinya itu. Adakah rasa hatinya itu benar? Atau sekadar mainan
perasaannya sahaja?
Ryea mengatur langkah dengan
perlahan-lahan. Dadanya berdebar-debar. Baru sebentar tadi dia menyaksikan
sesuatu yang membuatkan hatinya hancur! Dia pasti, apa yang dilihatnya tadi
bukanlah ilusi. Dia begitu yakin sekali. Ryea meraup wajahnya berulang kali.
Tubuhnya bergigilan kecil akibat terkejut dengan sesuatu yang dilihatnya tadi.
Atmanya sesak dihimpit perasaan sedih!
Mengapa lelaki itu sanggup? Mengapa
lelaki itu sanggup mendustai janji yang telah dilafazkan sejak enam tahun
dahulu? Adakah sesuatu telah berlaku pada lelaki itu? Mungkin dia telah
mengalami amnesia? Ryea sukar menafsir rasa hatinya. Yang pasti, hatinya begitu
sakit! Sukar untuk diungkapkan kesakitan itu.
Mungkin benar apa yang telah
dikatakan oleh Hannie. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan hanya mahu
menghancurkan hatinya sahaja. Tiada sekelumitpun rasa cinta yang tersemat di
dalam hati lelaki itu buatnya. Mengapa lelaki itu sanggup berbuat begitu? Ryea
menahan airmatanya dari berjujuran jatuh. Dia sedaya upaya mengawal perasaan
sendunya.
Dia menapak pergi dari pusat
beli-belah itu dengan langkah gontai. Dia tidak kuat untuk menghadapi kenyataan
yang menyakitkan ini. Jika benar lelaki itu tidak mencintainya selama ini,
mengapa tidak lelaki itu berterus-terang sahaja padanya? Setidaknya tidaklah
dia menjadi pungguk yang merindukan bulan. Enam tahun dia memendam rasa, enam
tahun dia menunggu kehadiran lelaki itu untuk menjadi teman hidupnya.
Tetapi sekarang? Semuanya hancur
sekelip mata. Tanpa sedikit rasa belas, lelaki itu meruntuhkan empangan
airmatanya dan menghancurkan tembok-tembok cinta yang telah dibinanya sejak
bertahun lalu. Jika sekadar kehadiran lelaki itu untuk mengecewakannya, lebih
baik jika lelaki itu tidak pernah hadir langsung di dalam hidupnya. Lebih baik
dia memendam rasa sendiri, dan lebih elok jika dia bersendirian tanpa cinta.
“Ryea!” Jeritan seseorang membuatkan
Ryea segera mengesat airmatanya yang begitu deras mengalir. Ryea cuba mengukir
senyuman plastik, cuba berlagak biasa walaupun hatinya begitu hancur.
“Ryea ke ni?” Lelaki itu bertanya,
meminta kepastian. Lambat-lambat Ryea mengangguk. Lebih baik jika dia
menghadapi kenyataan daripada lari dari kenyataan itu buat selamanya. Lelaki
itu mengukir senyuman lebar.
“Awak dah tak ingat saya? Saya
Hydil.. Ingat? Kita sekelas, ingat tak? Maktab Rendah Sains MARA Batu Pahat?”
Hydil cuba mengingatkan wanita yang berada di hadapan matanya itu. Ryea
mengangguk perlahan. Sudah tentu dia mengingati lelaki itu. Tidak pernah
sedetik pun dia melupai nama lelaki itu.
Hydil Rafael. Wajahnya masih sama
seperti dulu, tutur katanya juga masih sama seperti dulu. Begitu sopan dan
penuh kelembutan. Hydil yang Ryea kenali dulu merupakan seorang lelaki yang
begitu menghormati kaum Hawa. Nyata, sikap lelaki itu tidak berubah hingga
kini.
“Ingat.. Hmm, awak buat apa kat sini?”
Soal Ryea walaupun dia sudah ternampak lelaki itu tadi berjalan beriringan
bersama-sama dengan seorang wanita yang begitu anggun parasnya. Hydil tersenyum
lebar, tidak pula menjawab soalan yang diberikan oleh Ryea itu.
Kocek seluarnya diseluk. Telefon pintar
Galaxy Note dikeluarkan. Hydil memandang wajah Ryea dengan senyuman yang masih
tidak lekang di bibir. Ryea terkedu seketika. Jujur, dia terpesona dengan
senyuman lelaki itu. Dari dulu hingga sekarang. Mana mungkin dia melupakan
senyuman itu? Dan mana mungkin dia mampu melupakan lelaki yang sentiasa
membuatnya tersenyum tidak kira betapa besar kesedihan yang dihadapi olehnya.
Hydil mengenyit sebelah matanya
kepada Ryea. “Saya rindu betul dengan awak.. Awak dah tukar nombor ya? Mari
sini nombor awak, saya nak simpan. Saya harap ni bukan last time kita jumpa…”
Hydil tersenyum lagi. Ryea segera memberitahu nombor telefonnnya tanpa ragu.
Seketika dia kembali tersedar.
Lelaki itu sudah berpunya! Untuk apa lagi dia mendekatkan dirinya pada lelaki
itu? Dia tidak mahu dilabel sebagai wanita perampas! Dia tidak mahu mendapat
gelaran itu! Dia rela melepaskan Hydil pada wanita lain seandainya inilah
takdir yang telah tertulis buatnya. Jika begini, dia tidak rela.
Hydil melambai-lambai tangannya di
hadapan wajah Ryea. Ryea tersentak dari lamunan. Wajahnya kembali serius. “Awak
nak buat apa dengan nombor saya? Saya rasa cukup sampai sini aje kita jumpa..
Lepas ni kita tak payah jumpa lagi,” tegas Ryea berkata. Hydil terkedu tatkala
mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Ryea itu. Mengapa wanita itu bersikap
aneh sekali? Hydil tertanya-tanya sendiri.
“Kenapa ni? Awak tak suka kita jumpa
semula?” Hydil mengeluh. Ryea spontan menggeleng.
“Saya bukan tak suka jumpa awak..
Tapi saya tak nak nanti kena fitnah..” Jawab Ryea, jujur. Hydil mengerutkan
dahinya. Dia sedaya upaya membaca fikiran Ryea. Ternyata dia gagal. Anak mata
Ryea ditatapnya, cuba menyelami isi hati wanita itu. Tetapi Ryea pantas
mengelak.
Baru sahaja Ryea hendak melanjutkan
kata-katanya, seorang wanita yang mempunyai paras yang begitu anggun dengan
spontan memeluk Hydil dari belakang. Ryea mengetap bibir. Perasaan sakit
hatinya itu cuba ditahan. Jujur diakui, dia cemburu. Cemburu apabila
menyaksikan wanita itu memeluk lelaki yang dicintainya sejak enam tahun dahulu
di hadapan matanya sendiri! Siapa yang tidak sakit hati?
Hydil berpaling ke belakang, dan
dengan selamba Hydil mencium dahi wanita itu di hadapan khalayak ramai. Sekali
lagi Ryea terkedu, dan buat sekali lagi tubuhnya bergigilan kecil. Perlukah dia
menunggu lagi disini? Tidak! Langsung tidak perlu! Ryea mahu mengatur langkah
pergi, tetapi Hydil pantas menahan.
“Tunggu dulu.. Saya nak perkenalkan
awak dengan seseorang ni..” Hydil tersenyum manis. Lesung pipitnya kelihatan.
Ryea mengangguk, tetapi dia menunduk
ke bawah. Dia menahan airmatanya yang kian tumpah. Begitu mudah sekali Hydil
memungkiri janji yang pernah diungkapkannya dahulu, begitu mudah sekali Hydil
menghancurkan hatinya yang selama ini setia terhadapnya. Mudah sekali!
Ryea memandang jam tangannya. Dia
cuba mencipta seribu satu alasan bagi melepaskan dirinya dari Hydil dan wanita
yang berada disisi Hydil itu. Tetapi dia tidak dapat memikirkan alasan yang
munasabah. Sudahnya, Ryea mendiamkan diri.
“Ha, ni saya nak perkenalkan awak
pada seseorang. This is my wife, Faten Bazlina..” Hydil tersenyum lagi. Ryea
tersentap. Langkahnya terundur beberapa tapak. Dia benar-benar terkejut.
Isteri? Sejak dari tadi dia hanya menganggap wanita yang berada di sebelah
Hydil itu hanya teman wanitanya. Tetapi sangkaannya jauh meleset. Isteri?
Sekali lagi Ryea dihambat rasa pilu.
Faten dengan riang menghulurkan
tangannya untuk bersalaman. Ryea menyambut huluran tangan itu dengan perasaan
yang hancur. Ketika ini dia tidak dapat menafsir rasa hatinya sendiri. Sedih?
Ya, sudah pasti. Kecewa? Sudah pasti.
Akhirnya Ryea menitiskan airmatanya,
dia tidak dapat menahan airmatanya dari tumpah ke pipinya. Segera dia menyeka
airmatanya itu. Hydil dan Faten memandang antara satu sama lain. Ryea
tersenyum, tetapi airmatanya masih lagi menitis.
“Maaf, ada habuk masuk mata saya
ni..” Ucap Ryea, berbohong. Faten mengangguk, begitu juga dengan Hydil.
Ryea menyeka airmatanya yang jatuh
itu. Dia cuba kelihatan kuat di hadapan Hydil. Dia tidak mahu kelihatan lemah.
Dia harus bangkit dari semua ini. Untuk apa dia mengharapkan kasih yang telah
tiada? Untuk apa dia menunggu dan terus berharap lagi? Kasih yang diharapkannya
selama ini sudah hancur.
“Saya kena cepat ni Hydil.. Next
time kalau ada masa, kita boleh jumpa lagi..” Ryea memberi alasan, segera dia
bersalaman dengan Faten. Hydil terpaksa akur dengan kenyataan Ryea itu walaupun
ada banyak perkara lagi yang mahu dibincangkannya bersama dengan Ryea itu.
****
“HANNIE, betul.. Tekaan kau memang
betul..” Ryea menghempaskan tubuh badannya di atas sofa. Hannie yang ketika itu
sedang menonton drama di televisyen tersentak. Segera dia berpaling memandang
wajah sahabatnya itu.
“Eh Ryea, kenapa ni.. Kenapa
menangis?” Hannie mendekati sahabatnya itu, airmata Ryea yang mengalir itu
disekanya dengan lembut.
Ryea meraup wajahnya berulang kali.
Bagaimana caranya untuk dia menerangkan hal ini kepada Hannie? Bibirnya sendiri
sudah kelu untuk menceritakan apa yang berlaku. Dia tidak mampu untuk menyebut
nama lelaki itu lagi! Hancur hatinya kerana lelaki itu! Tiada kata dapat
dilafazkannya lagi.
“Aku menyesal.. Aku menyesal sebab
terlalu berharap pada dia. Sedangkan aku tak tahu sebenarnya dia dah lupakan
aku,” di dalam sendu Ryea menuturkan. Hannie jadi sayu. Segera dia memeluk
sahabatnya itu. Dia amat memahami rasa hati Ryea ketika ini. Pasti Ryea berasa
begitu kecewa. Pasti Ryea berasa keseorangan.
“Dah, janganlah menangis.. Mungkin
dia bukan jodoh kau.. Tak apalah, cuba fikir positif.. Mungkin dia tak ada
pilihan lain,” Hannie mengusap bahu Ryea dengan lembut. Ryea menggeleng.
“Dia pasti ada pilihan. Aku sebak
bila jumpa dia semula dengan isteri dia!” Ryea menangis semahunya. Hannie
terpempan. Dia tidak sangka Hydil bertindak sejauh itu. Selama ini dia
menyangka Hydil seorang yang setia. Atmanya juga semerta berasa sesak!
Hannie mengetap bibirnya. Berani
sungguh Hydil memungkiri janjinya. Berani sungguh Hydil menyakitkan hati
sahabatnya. Hannie mengepal penumbuknya. Pelukannya pantas dileraikan.
“Kau beritahu dengan aku, mana si
Hydil tu.. Biar aku jumpa dengan dia, sekarang juga!” Hannie tidak dapat
mengawal rasa amarahnya. Jika Ryea terluka, dia juga begitu.
Kebahagiaan Ryea, kebahagiaannya
juga! Selama ini dia menjadi pendengar setia setiap curahan hati Ryea terhadap
Hydil. Hampir setahun sahabatnya itu menjejaki Hydil di Johor Bahru, tetapi
usaha sahabatnya itu gagal! Dan kini, ketika sahabatnya sudah bersua muka
dengan Hydil, lelaki itu pula melukai sahabatnya! Langsung tidak boleh
dimaafkan!
“Kau nak buat apa dengan dia Hannie?
Dahlah, dia dah kahwin pun. Biarlah, dah lepas pun.. Aku tahu aku yang salah
dalam hal ni. Aku terlalu berharap pada dia. Sedangkan aku tahu janji yang dia
katakan dulu tu semuanya janji cinta monyet, tak lebih dari tu.. Aku yang salah
dalam hal ni..” Ujar Ryea, sayu. Hannie semerta menjadi sebak. Dia kembali
mendekati Ryea, sekali lagi dia memeluk Ryea.
“Listen.. Kau tak salah langsung
dalam hal ni. Kau bukan berharap. Kau cuma menunggu dia tunaikan janji. Dalam
hal ni, dia yang bersalah sebab dia tak tunaikan janji dia pada kau. Kau
langsung tak salah.. So stop blaming yourself! Aku tak sangka Hydil boleh
berubah macam tu sekali sejak balik dari Russia..” Keluh Hannie, perlahan.
Ryea diam tidak menjawab. Mindanya
menerawang jauh. Perlahan-lahan kenangan ketika dia dan Hydil beberapa tahun
kembali bermain di fikiran. Kenangan itu sangat indah, bahkan terlalu manis
untuk dikenangkan. Alangkah indahnya andai kenangan itu dapat diputarkan
kembali. Tetapi.. Semuanya mustahil. Ryea mengeluh, hampa.
****
Imbas kembali..
1 Jun 2006
RYEA merenung wajah Hydil sepuasnya.
Dia tahu, tidak lama lagi dia akan berpisah dengan lelaki itu. Dia tahu tidak
lama lagi Hydil akan berhijrah ke Russia bersama-sama dengan keluarganya. Ryea
tidak mahu menghalang, langsung tidak terdetik di hatinya untuk melarang lelaki
itu untuk pergi ke rantau orang itu. Jika dia berbuat begitu sekalipun, apalah
dayanya?
“Ryea, awak tak kisah ke kalau saya
pergi?” Hydil bersuara datar. Ryea mengangkat wajahnya. Wajahnya yang cantik
itu membuatkan ramai pelajar lelaki yang berada di Maktab Rendah Sains MARA,
Batu Pahat meminatinya. Sepasang mata yang cantik, mempunyai darah berkacukan
Arab membuatkan Ryea menjadi idaman ramai.
Ryea mengangkat bahunya. “Saya tak
tahu nak kata apa.. Saya tahu, kalau saya halang awak pun belum tentu
permintaan saya diterimakan? Keluarga awak berpindah ke sana disebabkan awak
mendapat tawaran belajar, kan?” Ryea menebak. Lambat-lambat Hydil mengangguk.
Benar apa yang dikatakan oleh Ryea
itu, jika Ryea menghalangnya pergi sekalipun Ryea tidak mampu berbuat apa-apa.
Hydil buntu. Dia begitu menyayangi Ryea, dan dia mahu Ryea menjadi suri di
dalam hidupnya. Buat selamanya.
Tetapi keadaan sekarang ini seakan
mendesaknya untuk meninggalkan Ryea. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia
meminta orang tuanya meminang Ryea. Niatnya itu dibatalkan apabila memikirkan
risiko yang bakal diterima nanti.
“Ryea, saya janji dengan awak.. Saya
janji, bila saya balik semula dari Russia tahun 2012 nanti.. Saya akan terus
cari awak, kita kahwin ya?” Ucap Hydil, serius. Ryea terkesima. Dia gembira,
tetapi dalam masa yang sama dia turut terkedu dengan kata-kata Hydil itu.
Adakah Hydil benar-benar serius dengan kata-katanya itu? Ryea tertanya-tanya.
“Kahwin? Awak gila ke Hydil? Awak
berjanji macam ni, awak fikir elok sangat ke?” Dengus Ryea, cuba menangkis
kata-kata Hydil itu. Hydil menggeleng. Dia memandang wajah Ryea dengan penuh
lagak menggoda.
“Saya tahu tak elok, tapi saya
serius. Sejak pertama kali kita kenal lagi, saya memang nak jadikan awak isteri
saya.. Saya memang berniat nak jadikan awak isteri saya.. Saya tak bergurau,
dan saya serius dengan kata-kata saya ni..” Ryea tersentak. Perlahan-lahan dia
mengangkat wajahnya memandang raut wajah Hydil yang tampan pada matanya itu.
Kening yang lebat, serta kulit yang cerah membuatkan Hydil kelihatan begitu
kacak pada pandangan Ryea.
“Jangan buat kerja gila.. Saya tak
nak menaruh harapan sangat.. Saya takut nanti saya yang kecewa..” Keluh Ryea.
Hydil mendekati Ryea, cuba memegang tangan wanita itu. Tetapi dia pantas tersedar
bahawa tindakannya untuk memegang tangan wanita itu salah! Dia dan Ryea tidak
mempunyai hubungan yang sah. Hydil segera mengucap panjang.
“Awak tak perlu menaruh harapan pada
saya. Awak cuma perlu setia.. Janji pada saya, janji yang awak akan setia dan
akan tunggu saya..” Hydil memandang wajah Ryea, sekali lagi. Ryea terkedu.
Nampak gayanya Hydil benar-benar
serius. Ryea mengangguk. Jika itu yang dimahukan oleh Hydil, dia akan cuba. Dia
akan cuba menjadi seorang pencinta yang setia. Dia akan cuba menantikan
kepulangan lelaki itu walaupun hakikatnya payah.
“Saya cuba..” Ryea melafazkan lagi.
Hydil tersenyum gembira.
“Saya sayangkan awak Ryea..” Ucap
Hydil, penuh romantis.
“Saya pun sayangkan awak, Hydil.”
Dengan perlahan Ryea mengucapkan. Dia malu untuk melafazkan kata-kata itu.
Tetapi dia tidak mahu menyesal kerana seumur hidupnya dia tidak pernah
mengungkapkan rasa sayangnya pada Hydil. Selama ini lelaki itu yang mengejar
cintanya, dan selama ini dia tidak pernah membalas cinta dari Hydil itu.
Beberapa bulan sebelum peperiksaan
SPM bermula, barulah dia mengatakan bahawa dia mempunyai perasaan yang serupa
dengan Hydil. Ketika itu, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu kegembiraan yang
dirasai oleh Hydil. Tidak sia-sia usahanya selama tiga tahun itu. Tidak sia-sia
dia memikat Ryea.
Dan kini, mereka bertemu buat kali
terakhir selepas empat bulan keputusan SPM dikeluarkan. Mereka sama-sama
memperolehi kejayaan. Kedua-duanya memperolehi 9A1, dan Hydil mendapat tawaran
untuk menyambung pelajarannya di Russia di dalam bidang perubatan. Manakala
Ryea pula kurang bernasib baik untuk belajar di luar negara, dia hanya mendapat
tajaan untuk belajar di Universiti Malaya.
“Janji dengan saya, awak akan jadi
cikgu yang baik!” Hydil tersenyum manis. Ryea mengangguk. Dia bercita-cita
untuk menjadi guru. Baginya, cita-cita sebagai guru merupakan satu cita-cita
yang murni! Guru menumpahkan ilmu yang ada pada setiap muridnya ibarat lilin.
Dan Ryea mahu berbakti kepada anak bangsa.
“Dan awak janji dengan saya, awak
akan jadi doktor yang baik! Jangan gatal dengan pesakit perempuan!” Ryea sempat
berpesan. Hydil tergelak besar mendengar pesanan Ryea itu. Mana mungkin dia
mampu melupakan pesanan itu.
“Kalau saya tergatal pun tak boleh
ke?” Hydil cuba mengusik. Ryea mengangkat keningnya. Hannie yang berada lebih
kurang satu meter dari mereka berdua pantas menjerit.
“Hoi! Berapa lama lagi aku kena
tunggu ni? Perut aku dah laparlah!” Hannie menarik wajah masam. Hydil dan Ryea
memandang antara satu sama lain. Mereka sama-sama tergelak.
“Mari sinilah cikgu! Kita pergi
makan.. Biar saya belanja..” Hydil memanggil Hannie dengan lembut. Dia sengaja
memanggil Hannie dengan panggilan cikgu kerana Hannie juga mempunyai cita-cita
yang serupa dengan buah hatinya itu.
Hannie menapak perlahan-lahan, menghampiri
dua merpati sejoli itu. Spontan dia menumbuk lengan Hydil dengan kuat. Hydil
mengaduh kesakitan sembari menggosok lengannya itu. “Sakitnya.. Ganas betullah
awak ni..” Komen Hydil. Hannie ketawa berdekah-dekah.
“Ketawa berdekah-dekah tu sama aje
macam kawan dengan syaitan.” Sekali lagi Hannie terkena. Hydil tersenyum
semanis gula. Sementara Ryea pula hanya menggeleng kecil melihat telatah Hydil
dan sahabat baiknya itu.
Hydil terfikirkan sesuatu. “Oh ya,
Hannie.. Nanti bila saya takde kat sini.. Awak tolong tengokkan Ryea ya? Awak
kena pastikan dia tak pandang lelaki lain. Awak kena pastikan dia tatap gambar
saya aje hari-hari! Okay?”
“Kau nak bayar aku ke? Aku okey aje.
Nanti bila kau dah jadi doktor, kau kena kasi rawatan percuma kat aku sebab aku
dah sudi nak tengokkan buah hati kau ni..” Hannie mengangkat-angkat keningnya.
Hydil menyepetkan matanya, kemudian dia mengangguk dan tersenyum.
Hannie melompat kegirangan. Spontan
dia menarik tangan Ryea. “Jomlah! Hydil, kau kata nak belanja makan. Jom.. Aku
dah lapar ni..” Hannie segera mendesak. Hydil menahan tawanya. Ryea memandang
wajah Hydil, sekali lagi. Tanpa disedari Hydil sempat mengenyitkan sebelah
matanya pada Ryea. Ryea tertawa kecil.
“Jom..”
****
“So, that is Ryea yang abang
ceritakan selama ni?” Faten mengangkat keningnya. Nada suaranya kedengaran
datar. Dia melilit tali leher buat suaminya itu dengan mesra. Hydil mengangguk.
Selama ini dia pernah menceritakan mengenai Ryea pada isterinya itu.
“Itulah orangnya.. Macam mana,
cantik tak?” Hydil bertanya, dengan nada bergurau.
Faten mengangguk. Dia akui, Ryea
mempunyai wajah yang cantik. Dia seakan dapat mengesan sesuatu melalui riak
paras wanita itu. Setelah siap melilit tali leher buat suaminya itu, Faten
mencapai haruman CK Eternity di almari. Lantas disembur haruman itu pada tubuh
badan suaminya.
“Nah! Dah wangi dah dia.. Pergi
kerja elok-elok.. Mata tu jaga!” Faten sempat memberi pesan pada Hydil. Buat
seketika Hydil tersentak dengan pesanan itu. Perasaan bersalah terus menyelinap
ke dalam hatinya. Dia dihambat rasa bersalah! Kata-kata itu pernah
didengarinya. Enam tahun lalu. Ya, enam tahun lalu.
“Abang?” Faten melambaikan tangannya
di hadapan Hydil. Hydil tersentak. Dia cepat-cepat mencapai briefcasenya dan
segera mencium dahi isterinya itu. Setelah isterinya itu menyalam tangannya,
Hydil segera melangkah keluar.
Wajah Ryea bermain-main di dalam
ruang mindanya. Dia mengeluh sesekali mengucap panjang. Adakah perkara yang
dilakukannya ini benar? Adakah dia telah melakukan perkara yang benar? Melukai
hati insan yang dia sayangi? Hydil menggeleng. Dia tidak mahu lari dari hakikat
bahawa dia masih lagi mencintai wanita itu. Tidak pernah walau sedetik dia
melupakan wanita itu. Perkahwinan dia dan Faten juga diatas beberapa sebab. Dia
tiada pilihan lain selain menurut kata orang tuanya. Dia tidak mahu ingkar pada
arahan orang tuanya.
Pada awalnya dia dan Faten berkahwin
hanya sekadar untuk menuruti permintaan orang tua sahaja. Tetapi selepas
beberapa bulan, perasaan cinta itu kian hadir. Meski begitu, dia tetap
mencintai Ryea. Dia tahu, berdosa jika dia memikirkan tentang wanita lain
ketika dia bersama dengan isterinya sendiri. Tetapi.. Dia tiada pilihan.
Bayangan Ryea sukar diusir dari
mindanya. Senyuman wanita itu, gelak tawanya benar-benar membuatkan dirinya
tidak keruan. Dan sejak dari dulu dia berhajat untuk menyunting wanita itu
sebagai isterinya itu. Hydil keliru dengan keputusannya. Mengapa dia bersetuju
ketika orang tuanya mahu menjodohkan dia dan Faten? Hydil terdiam.
Peristiwa beberapa bulan yang lalu
kembali menerjah. Walau dia tidak mahu mengingati, tetapi mahu tidak mahu dia
harus menghadapi jua. Jam tangan yang berada di tangannya itu dipandang lagi.
Nafasnya terasa sesak.
****
Imbas kembali..
“IBU dengan ayah tak nak paksa
Hydil.. Tapi Hydil tengok sendiri keadaan Faten tu macam mana.. Kesian dia..
Dia kehilangan mama dan papanya serentak. Hydil tak kesian ke?” Puan Eimma
bersuara, cuba memujuk anak lelakinya itu.
Hydil terdiam. Dia tidak tahu hendak
berkata apa. Faten merupakan rakannya yang sama-sama menuntut di Russia. Tetapi
Faten menuntut di universiti yang berbeza di dalam bidang kejuruteraan.
Perkenalannya dengan Faten juga secara tidak sengaja. Ketika itu dia yang baru
sahaja tiba di Russia itu sesat, mujurlah Faten membantunya.
Jika mahu diikutkan, memang dia
terhutang budi dengan wanita itu. Tetapi perlukah hutang itu dibayar dengan
perkahwinan? Mengapa dia pula yang terbabit untuk membahagiakan wanita itu?
Sedangkan ada insan yang menunggunya di bumi Malaysia? Hydil serba salah.
“Ibu.. Hydil bukan nak bantah cakap
ibu dengan ayah.. Tapi Hydil dah janji dengan Ryea..” Hydil mengeluh. Dia tidak
pernah bersembunyi mengenai perhubungannya dengan Ryea. Bahkan Puan Eimma tidak
pernah melarang anaknya itu berkawan dengan Ryea. Bagi Puan Eimma, Ryea seorang
wanita yang punya budi bahasa dan adab yang sopan.
“Ryea? Ibu harap dia pun faham
dengan keadaan Hydil sekarang ni.. Ibu betul-betul tak sanggup nak tengok Faten
macam tu.. Ini tahun akhir dia.. Hydil sanggup tengok dia gagal dan balik semula
ke Malaysia tanpa apa-apa? Sudahlah orang tua dia meninggal dunia..” Puan Eimma
tidak meneruskan kata-katanya. Hydil serba salah.
Adakah patut dia menerima sahaja
cadangan ibunya itu? Adakah patut dia mengahwini Faten demi kebahagiaan wanita
itu? Tetapi bagaimana pula dengan kebahagiaan Ryea? Jika Ryea tahu mengenai
perkara ini, pasti hancur luluh hati wanita itu. Sanggupkah dia melukakan hati
wanita itu? Hydil dalam dilema.
“Begini aje.. Hydil nikah dulu
dengan dia.. Cuba kenali hati budi masing-masing.. Ibu rasa Faten pun tak
setuju. Tapi ini untuk kebaikan dia.. Dan untuk kebaikan Hydil juga.. Tak
apakan?” Puan Eimma sekali lagi cuba berdiplomasi. Hydil kematian kata. Dia
sudah tidak tahu hendak mengungkapkan apa lagi. Apa lagi yang perlu dikatakannya?
“Tapi ibu..” Sebelum Hydil sempat
berkata-kata, Encik Azhar sudah memintas.
“Hydil pernah kata yang Hydil nak
tolong perempuan yang dalam kesusahankan? Ini waktunya Hydil..” Hydil mengeluh,
buat kesekian kalinya. Akhirnya dia mengangguk, bersetuju.
****
“KALAU boleh, cuba huraikan setiap
isi yang ada dalam setiap perenggan tu.. Saya beri masa setengah jam untuk
siapkan rangka karangan. Apa-apa pertanyaan, boleh jumpa saya kat depan ni,”
Ryea memberi arahan pada pelajarnya.
Sudah hampir tiga tahun dia berkhidmat
di sekolah ini. Dan dalam tempoh masa itu juga dia berjaya menyandang gelaran
guru cemerlang di dalam masa yang begitu singkat sekali.
Baru sahaja Ryea hendak melabuhkan
punggungnya di atas kerusi sahaja, telefon bimbitnya berbunyi. Ryea mengerutkan
dahinya. Siapa pula yang menelefonnya pada waktu begini? Tidak tahukah dia
sedang sibuk mengajar? Laju sahaja dia mengangkat panggilan tersebut.
“Assalamualaikum. Siapa ni?” Soal
Ryea, garang.
“Waalaikumusalam. Ryea! Hydil ni..
Boleh kita jumpa?” Pinta Hydil di corong telefon.
Ryea menelan liur. Hydil mahu
berjumpa dengannya? Untuk apa? Untuk menyakitkan hatinya sekali lagi? Untuk
memecahkan empangan airmatanya sekali lagi? Jika begitu, dia sanggup melarikan
diri ke hujung dunia hanya untuk melarikan diri dari lelaki itu! Hatinya sakit.
Sangat sakit apabila mengenang kembali babak mesra di antara Hydil dan
isterinya itu.
“Jumpa? For what? Saya sibuklah
Hydil.. Petang ni ada mesyuarat antara guru-guru.. Post-mortem..” Ryea memberi
alasan walau hakikatnya tiada langsung mesyuarat yang akan diadakan pada petang
ini. Dia mahu menjauhkan dirinya dari Hydil. Lebih cepat lebih elok.
Hydil mengeluh hampa. Walaubagaimana
caranya sekalipun, dia harus berjumpa dengan Ryea. Dia harus memberitahu Ryea
tentang semuanya. Dia tahu pasti Ryea sudah berkecil hati. Dan dia tahu pasti
Ryea sakit hati apabila memandang dia dan Faten berpelukan tempoh hari.
“Please Ryea, sekurang-kurangnya
awak jumpa saya buat kali terakhir.. Please,” rayu Hydil. Ryea terkedu. Dia
tidak suka apabila Hydil berkata begitu. Buat kali terakhir? Seakan-akan ada
satu makna tersirat yang tersimpan. Adakah lelaki itu mahu pergi jauh? Ah, tapi
biarlah.. Untuk apa aku mengenangnya lagi? Ryea bermonolog sendiri.
“Cuba beritahu saya, buat apa awak
nak jumpa saya?” Dengan perlahan Ryea bertanya. Dia jadi lemah setiap kali
Hydil bersuara begitu. Dia jadi tidak keruan apabila Hydil merayunya sebegitu.
“Ada benda yang saya nak cakap
dengan awak.. Ingat.. Tangan awak masih lagi bergari dengan gari saya.. Awak
tak boleh lari jauh dari saya..” Lembut Hydil mengucapkan. Ryea tersentak. Dia
memandang pergelangan tangan kirinya. Jam tangan yang diberikan Hydil beberapa
tahun yang lepas itu masih lagi tersarung kemas. Bahkan masih elok.
“Gari tu? Awak nak saya pulangkan
semula? Saya boleh pulangkan semula. Dan saya pun boleh pulangkan perasaan
cinta saya pada awak. Semuanya..” Ryea tidak mampu mengawal kata-katanya.
Akhirnya kata-kata itu terlafaz juga dari bibirnya. Dalam masa yang sama juga
airmatanya jatuh ke pipi.
“Ryea! Jangan macam ni.. Sebab tu
saya nak jumpa awak. Please.. Dengar dulu penjelasan saya..” Pinta Hydil lagi.
Ryea tidak mahu berkata-kata lagi. Dia segera menutup talian. Dia meraup
wajahnya dan menangis semahunya. Tetapi suara tangisannya itu sedaya upaya ditahan.
Dia tidak mahu pelajarnya tersalah anggap.
“Cikgu? Kenapa ni cikgu? Cikgu
okey?” Soal salah seorang pelajar tingkatan 4 Cekal itu. Ryea menyeka
airmatanya lantas mengangguk perlahan.
“Ya.. Saya okey. Dah, sambung kerja
semula. Saya nak pergi toilet sekejap..” Ryea meninggalkan beg tangannya dan
segera menapak ke tandas guru. Di dalam tandas itu, dia memandang cermin.
Pantulan imej wajahnya kelihatan. Ryea cuba bermuhasabah diri.
Perlukah dia menangis sebegini hanya
kerana seorang lelaki? Perlukah dia menjadi lemah hanya kerana seorang lelaki?
Dan perlukah dia hilang segala keyakinan hanya kerana seorang lelaki? Persoalan
itu menganggu mindanya. Hadir bertalu-talu. Jam tangan yang berada di
pergelangan tangannya itu dibuka. Kenangan indah ketika menerima jam tangan itu
akan terus diingatinya sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
****
Imbas kembali…
“NAH.. Saya beli dua.. Satu untuk
awak, satu untuk saya..” Hydil tersenyum dan menyerahkan jam tangan Santa
Barbara itu kepada Ryea.
Jam tangan itu dibeli dengan
menggunakan wangnya sendiri. Sementara menunggu keputusan SPM, Hydil sempat
bekerja sambilan sebagai seorang jurugambar. Dan dia dapat meraih sedikit
pendapatan buat dirinya. Jika diikutkan, orang tuanya langsung tidak
membenarkan dia bekerja.
Tetapi disebabkan tidak betah duduk
di rumah, Hydil nekad hendak bekerja juga. Dan hasil kerjanya itu diperuntukkan
dengan membeli sepasang jam tangan Santa Barbara. Dia mahu menghadiahkan
sesuatu yang bermakna buat Ryea. Dia mahu Ryea mengingati saat indah itu
selama-lamanya.
“Jam ni bertindak sebagai gari. Awak
tak boleh buka gari ni selagi saya tak beri arahan! Kalau awak buka bermakna
awak dah tak sayang saya lagi. Dan kalau awak buka bermakna awak dah tak anggap
saya istimewa di hati awak lagi.” Panjang lebar Hydil mengucapkan. Ryea hanya
tertawa mendengar ucapan Hydil itu.
“Kalau saya mandi takkan tak boleh
buka?” Ryea menjungkit keningnya. Hydil menggaru-garu kepalanya.
“Kalau mandi tak apalah! Tapi
selepas tu pakai semula. Kalau awak tak pakai semula jam ni dalam masa 12 jam
selepas awak buka bermakna awak dah tak cintakan saya lagi.” Hydil
mengangkat-angkat keningnya. Ryea mencebik.
“Peraturan jenis apa ni? Langsung
tak adil. Peraturan macam ni pun boleh pakai ke?” Ryea memprotes. Hydil ketawa.
“Jam ni juga bertindak sebagai
reminder. Jadi each time awak tengok jam ni, awak akan teringat saya.. Saya nak
setiap satu jam awak tengok jam ni! Boleh? So, awak tak akan lupakan saya walau
satu jam pun!” Hydil bersuara romantis. Ryea menggeleng-geleng kepalanya. Ada
sahaja idea gila yang datang dari kepala Hydil itu.
“Macam-macam fungsi eh jam ni? Saya
tak sangka awak ni jiwangkan?” Ryea cuba mengusik. Wajah Hydil sudah menjadi
merah. Malu dengan kenyataan Ryea itu.
“Mana ada.. Saya cuma jiwang dengan
awak aje. Dengan orang lain tak ada.. Sumpah!” Hydil mengangkat telapak
tangannya. Ryea ketawa. Sungguh, dia berasa begitu bahagia sekarang ini. Jam
tangan yang diberikan oleh Hydil itu segera disarungkan pada tangannya. Dia
memikirkan sesuatu. Jika Hydil memberikannya hadiah, dia juga perlu memberikan
sesuatu pada lelaki itu.
Ryea mengeluarkan dompetnya. Dia
mengeluarkan wang RM50 yang sudah lama tersimpan di dalam dompetnya itu. Begitu
pantas sekali dia melipat-lipat wang itu hingga terhasil bentuk hati. Setelah
itu Ryea menyerahkan lipatan wang itu kepada Hydil.
“Ini hadiah saya untuk awak.. Duit
ni berfungsi sebagai reminder juga. Kalau awak rindu saya, awak cium duit ni..
Dan duit ni merupakan hati saya yang saya serahkan pada awak. Bermakna kalau
awak dah tak sayangkan saya lagi, awak perlu serahkan duit ni pada saya..”
“Dah tak sayangkan awak lagi? Tu tak
akan terjadi. Never happen. Walau apapun yang berlaku, saya tetap sayangkan
awal. Sampai bila-bila.” Kata-kata itu dilafaz seiring dengan semilir angin
yang bertiup lembut.
****
RYEA sudah bersedia untuk keluar
dari sekolah. Jam baru sahaja menunjukkan ke pukul dua petang. Perutnya
tiba-tiba berbunyi. Lazimnya dia akan singgah terlebih dahulu ke Restoran My
Friend untuk menjamu selera.
Ryea segera memandu keretanya ke
destinasi yang hendak dituju. Kurang lima belas dia sudah tiba di restoran
berkenaan. Ryea memarkir keretanya itu dan laju sahaja dia mengorak langkah
menaiki tangga.
Sebaik sahaja berada di dalam
restoran itu, Ryea segera duduk. Belum sempat dia memanggil pelayan itu, datang
seorang wanita duduk di hadapannya. Ryea tersentak. Siapa pula wanita ini? Dia
tertanya-tanya.
“Err, maaf. Awak ni siapa ya?” Ryea
segera bertanya. Wanita itu hanya tersenyum.
“Saya Faten Bazlina.. Awak tak
ingat? Saya isteri Hydil..”
****
Ucapkanlah kasih, satu kata yang
kunantikan..
Sebab ku tak mampu membaca matamu..
mendengar bisikmu
Nyanyikanlah kasih, senandung kata
hatimu..
Sebab ku tak sanggup mengartikan
getar ini.
Sebab ku ragu pada dirimu..
Mengapa berat ungkapkan cinta,
padahal ia ada..
Dalam rinai hujan, dalam terang
bulan.. Juga dalam sedu-sedan
Mengapa sulit mengaku cinta, padahal
ia terasa..
Dalam rindu dendam, hening malam.
Cinta.. Terasa ada..
MALAM itu, Hydil menelefon Ryea
sekali lagi. Dia masih belum berpuas hati selagi tidak bersua muka dengan
wanita itu. Dia mahu menjelaskan hal yang sebenarnya. Dia sudah tidak mampu
menahan gejolak rindu pada wanita itu. Dia sudah tidak mampu memendam
perasaannya lagi. Sudah enam tahun dia memendam rasa ini.
Akhirnya Hydil nekad untuk terus ke
rumah Ryea. Berbekalkan maklumat yang diterima dari beberapa orang rakannya,
Hydil mendapat tahu kini Ryea menetap di Setia Tropika. Malam ini juga dia
harus memberitahu wanita itu segalanya. Biar pun kenyataan sebenarnya agak pahit,
tetapi lebih elok jika wanita itu tahu mengenai hal ini.
Sampai sahaja di hadapan rumah Ryea
itu, Hydil menekan loceng. Lama dia menunggu, tiada balasan. Hydil tidak
berputus asa. Alang-alang dia sudah sampai disini, biarlah dia terus menunggu.
Guruh berdentum. Hujan mulai turun
membasahi bumi. Tanpa sedar Hydil mengalirkan airmatanya setelah sekian lama
dia memendam rasa. Dia rela kesejukan, dan setia menunggu di hadapan kediaman
Ryea itu. Hydil tidak berputus asa, dia mahu membuktikan kepada Ryea bahawa dia
masih lagi mencintai wanita itu.
Sementara itu, Hannie yang berada di
dalam rumah tidak sampai hati melihat keadaan Hydil itu. Dia serba salah.
Perlukah dia membuka pintu dan membenarkan Hydil masuk sahaja? Tetapi itu tidak
mungkin! Hal itu akan merumitkan keadaan! Ryea yang berada di sebelahnya itu
turut memandang.
“Ryea, kau yakin? Kau tak nak jumpa
dia?” Soal Hannie.
“Aku belum bersedia. Biarlah dia kat
luar tu..” Tanpa rasa kasihan Ryea mengucapkan. Hannie mengeluh perlahan. Apa
yang telah merasuk minda sahabatnya itu? Selama ini Ryea begitu mencintai
Hydil. Mengapa ketika Hydil menunjukkan rasa cintanya, Ryea menolak pula?
“Kau tak menyesal?” Hannie bertanya
lagi.
Ryea tidak mampu menjawab soalan
itu. Sekali lagi airmatanya gugur. Baginya permintaan Faten pada petang tadi
begitu mustahil untuk dia tunaikan. Adakah perlu dia menurut sahaja kehendak
Faten itu? Ryea keliru, malah buntu!
Hydil masih lagi menunggu di luar.
Dia menggigil menahan kesejukan. Sesekali dia melaung memanggil nama Ryea. Jika
dilihat, kereta milik Ryea berada di halaman rumah. Begitu juga dengan lampu
rumah yang terpasang. Hydil yakin Ryea cuba melarikan diri darinya. Tapi..
Mengapa Ryea mahu melarikan diri? Adakah Ryea sudah menganggap dia melupakan
janjinya?
“Awak.. Awak baliklah.. Awak nak apa
lagi ni? Saya tak nak jumpa awak lagi..” Akhirnya Ryea membuka pintu rumahnya.
Hydil menggeleng.
“Saya takkan balik.. Selagi awak tak
dengar penjelasan saya..” Tegas Hydil berkata. Ryea membuka pagar rumahnya.
Hydil menapak ke dalam kawasan rumah Ryea itu. Tetapi Ryea berada di dalam
rumah. Mereka terpisah di balik pintu gril.
“Awak ni degillah! Saya dah kata,
saya tak nak dengar penjelasan awak tu.. Saya cuma nak awak bahagiakan isteri
awak. Cukup! Tu pun dah memadai..” Kata Ryea lagi. Hydil memandang Ryea dengan
riak yang serius.
“Saya nak tunaikan janji saya.. Saya
nak jadikan awak isteri saya.. Tolong Ryea.. Tolong jangan buatkan saya serba
salah macam ni.. Ni, duit ni.. Awak ingat lagikan?” Hydil menunjukkan lipatan
wang RM50 yang berbentuk hati itu kepada Ryea. Ryea menggeleng. Dia membuka jam
yang berada di tangannya itu, sekali lagi pantas jam itu diserahkan kepada
Hydil.
“Saya dah tak ada perasaan lagi pada
awak Hydil. Saya serahkan semula gari awak ni. Dan saya harap awak lupakan aje
janji awak. Saya rasa kita memang tak ditakdirkan bersama. Bukan jodoh kita..”
Lancar Ryea menuturkan. Hydil menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan
sebentuk cincin.
“Ryea.. Saya tak peduli apa yang
awak nak kata. Tapi saya datang sini tak lain dan tak bukan cuma untuk tunaikan
janji saya dan juga disebabkan rasa cinta saya pada awak. Jadi.. Sudi tak awak
jadi pasangan yang halal buat saya?” Hydil mengungkapkan kata-kata itu dengan
lembut. Seperti biasa.
Ryea menggeleng. Baginya, semua itu
sudah terlambat. Kalaulah Hydil melamarnya sebelum dia mengetahui lelaki itu
belum berpunya, pasti dia dapat menerima kenyataan. Tetapi sekarang ini dia
tidak sukar untuk membuat keputusan. Ya? Atau tidak?
“Beri saya masa.. Saya tak suka buat
keputusan dengan terburu-buru.” Ryea mendengus, lantas menutup pintu rumahnya.
Membiarkan Hydil berseorangan di luar. Ryea meraup wajahnya. Dia menahan sebak.
Disebabkan terlalu sedih, dia terduduk. Suara tangisannya sedaya upaya ditahan.
Dia tidak mahu Hydil mendengar tangisannya.
Hannie mendekati Ryea, cuba
menenangkan. “Ryea, kalau kau dah bersedia.. Apa kata kau terima aje.. Mana
tahu kau boleh dapat kebahagiaan yang kau idamkan selama ni? Bukan ke kau nak
jadi isterinya yang sah? Kan dah lama kau tunggu semua ni..” Hannie memujuk.
“Tak boleh Hannie. Aku tak sanggup.
Fikirkan tentang isteri dia.. Isteri dia mesti sedih..” Ryea menggeleng-geleng.
Hannie mengelus rambut sahabatnya itu perlahan.
“Tapi kau cakap isteri dia yang
minta kau terima suami dia, kan? Jadi apa yang kau tunggu lagi? Ryea, ini aje
peluang yang kau ada.. Kejar cinta kau atau kau sendiri yang akan rasa kecewa
nanti..” Hannie memberi nasihat. Ryea termenung panjang. Wajah Hydil semerta
menyinggah benaknya.
Senyuman lelaki itu, lesung
pipitnya.. Bahkan segala-gala yang ada pada lelaki itu menarik perhatiannya.
Dia tidak dapat menafikan hakikat dia begitu mencintai lelaki itu. Dia tidak
mahu kehilangan lelaki itu. Ya! Dia tidak mahu menyesal kemudian hari!
Ryea nekad. Dia bangun semula dan
membuka pintu rumahnya. Dilihatnya Hydil masih lagi setia menunggu dirinya di
luar rumah. Ryea membuka pintu gril. Perlahan-lahan dia mengangguk. Dia tidak
tahu mengapa dia berbuat begitu. Dia berharap Hydil akan memahami gerak lakunya
itu.
Hydil menunjukkan cincin itu pada Ryea,
dan mengangguk-angguk. Meminta kepastian dari Ryea. Dan buat kesekian kalinya
Ryea mengangguk, bersetuju. Tanpa berlengah Hydil terus melakukan sujud syukur
di situ juga. Langkah seterusnya, dia harus meminta kebenaran dari isteri
pertamanya. Semoga semuanya berjalan dengan lancar.
****
“AKU terima nikahnya Ryea Farhanah
binti Hazfirul dengan mas kahwin dua puluh dua ringgit setengah tunai.” Dengan
sekali lafaz, Ryea sudah sah menjadi milik lelaki bernama Hydil Rafael. Setelah
itu masing-masing membaca doa. Faten tidak lepas mengucapkan rasa syukurnya ke
hadrat Illahi. Dia tidak mempunyai apa-apa masalah berkaitan perkahwinan ini.
Bahkan dengan rela hati, dia
membenarkan suaminya untuk berkahwin lagi. Tetapi hatinya masih juga terasa
pedih. Pedih apabila mengenangkan dia kini berkongsi kasih sayang bersama-sama
dengan wanita lain. Pedih apabila mengenangkan suaminya kini menjadi hak milik
wanita yang lain juga. Tetapi apa yang lagi yang diharapkannya? Hanya itu..
Hanya itu sahaja.
“Faten, jom ambil gambar sekali..”
Ryea mengajak madunya itu untuk bergambar bersama. Faten menurut sahaja.
Setelah semuanya telah selesai,
Hydil menggengam erat jemari kedua-dua isterinya itu. “Abang janji akan cuba
berlaku adil selagi abang masih hidup. InsyaALLAH.” Ucap Hydil. Ryea mencebik.
“Sekali lagi abang berjanji. Jangan
berjanji kalau susah untuk ditepati..” Ryea mengkritik. Hydil tertawa. Spontan
dia mencium pipi isterinya itu di hadapan umum.
“Abang janji dengan Ryea, dan
sekarang abang tepatikan? Abang tak mungkir janjikan? Faten, abang ada mungkir
janji ke?” Hydil memeluk pula isterinya yang pertama itu. Faten tergelak lantas
menggeleng.
“Abang takde mungkir janji. Tapi
abang ada lupa janji abang! Abang janji nak bawa Faten pergi Pulau Tioman,
kan?” Ryea mengenyit matanya pada Faten. Faten mengangguk, mengiakan.
“Yang tu abang ingat.. Cuma abang
takde masa lagi sekarang ni. Eh, housemanship training abang belum habis lagi
eh.. Jadi, faham-fahamlah..” Hydil mengangkat kedua-dua keningnya serentak.
Ryea mencubit lengan suaminya itu dengan kuat.
“Mengada-ngada abang ni. Dahlah, jom
balik..” Pinta Ryea. Hydil memandang isterinya itu dengan pandangan mata yang
nakal. Seakan tersirat sesuatu melalui pandangan matanya itu.
“Takkan dah tak sabar? Awal lagi ni
sayang..” Hydil mencubit pipi isterinya itu. Wajah Ryea semerta menjadi merah
apabila diusik sebegitu. Sementara Faten pula memalingkan wajahnya ke arah
bertentangan. Dia pula jadi segan apabila mendengar usikan Hydil itu.
“Apa abang ni.. Tak malu betul.”
Ryea memarahi suaminya. Hydil tergelak besar.
“Nak malu apa.. Kan hubungan kita
dah halal..” Hydil mengenyit sebelah matanya pada Ryea. Ryea segera melangkah
ke arah kereta. Hydil cuba mengejar tetapi Faten sempat menahan.
“Abang, malam ni Faten balik rumah
ibu ya? Biarlah abang dengan Ryea luangkan masa bersama malam ni.” Ujar Faten,
lembut. Hydil mengangguk. Wajah isterinya itu dipandang lama.
“Faten.. Boleh abang tahu.. Kenapa
senang aje Faten berikan abang kebenaran berkahwin lagi? Faten tak marah? Faten
tak rasa cemburu?” Hydil cuma menafsir isi hati isterinya itu. Faten
menggeleng, seraya tersenyum manis.
“Kalau untuk kebahagiaan abang,
Faten tak kisah..” Dan kata-kata itu membuatkan Hydil dipagut rasa sayu. Begitu
besar sekali pergorbanan isterinya itu padanya. Hydil memeluk Faten dengan
erat, buat seketika dia mencium dahi isterinya itu. Lama.
“Terima kasih untuk semua ni Faten.
Abang sayangkan Faten..” Ucap Hydil, ikhlas. Faten hanya mengangguk.
****
Deras hujan yang turun
aku menangis memeluk bayangmu
derai airmataku membasuh hati
terluka kau tinggalkan aku
cinta putih yang kan kau beri
namun tak sempat kau ungkapkan
mengisi kehampaan hatiku disini
sebening embun pagi
luruh menetas di dedaunan
ku tangisi kepergianmu cinta
JAM sudah menunjukkan ke angka dua
pagi. Ryea memandang jendela. Dia memandang suaminya yang sedang tidur itu.
Tidak sangka, dia kini sudah menjadi isteri Hydil yang sah! Dan dia tidak
sangka kini dia berada bersama-sama dengan Hydil, cinta hatinya sejak di
sekolah dahulu.
Ryea memeluk suaminya itu dengan
erat. Betapa dia menyayangi Hydil, hanya ALLAH SWT sahaja yang tahu. Dan saat
berada disisi Hydil, dia berasakan dunianya berhenti berputar. Tetapi Ryea
hairan, mengapa Faten memintanya untuk menerima Hydil sebagai suami? Ryea
tertanya-tanya. Pasti ada sesuatu yang tersembunyi.
Ryea mengalihkan lengan suaminya itu
dengan perlahan-lahan, dia bergerak ke sebuah almari. Ada sesuatu yang
membuatkan dirinya tertarik untuk melihat isi di dalam almari itu. Tiba-tiba
sahaja telefon bimbit suaminya itu berdering. Ryea mengurut dadanya. Dia
berpura-pura menuju ke tandas.
Hydil mengangkat panggilan tersebut
dan dengan tergesa-gesa dia menukar pakaiannya. Ryea hanya diam tidak bereaksi.
“Abang, nak pergi mana?” Soal Ryea pada suaminya itu. Hydil tersenyum.
“Abang ada on-call ni. Ryea tak apa
ke duduk rumah seorang? Ke nak abang telefon Faten datang teman Ryea?” Hydil
memberikan isterinya itu pilihan. Ryea segera menggeleng. Dia tidak kisah jika
berseorangan sekalipun. Tidak menjadi masalahnya.
“Lama ke abang pergi?” Soal Ryea,
naif.
“Lama agaknya.. Ryea jangan tunggu
abang.” Hydil sempat berpesan. Ryea mengangguk-angguk. Dan setelah bersiap ala
kadar sahaja Hydil segera melangkah keluar. Sebelum itu dia sempat
menghadiahkan ciuman pada dahi isterinya itu, lama.
****
SETELAH kelibat Hydil tidak
kelihatan, Ryea mendekati semula almari itu. Perlahan-lahan dia membuka almari
itu. Terdapat sebuah kotak di dalam almari itu. Dia mengeluarkan kotak itu dan
membuka kotak tersebut.
Terdapat wang RM50 yang dilipat
menjadi bentuk hati di dalam kotak itu. Ryea amat mengenali lipatan wang
tersebut. Dia tersenyum. Sesuatu menarik perhatiannya! Ada sebuah catatan
seperti sebuah notepad kecil. Ryea membuka satu persatu catatan tersebut.
Hari ini aku menerima satu berita
buruk. Mungkin ini merupakan satu ujian dari ALLAH SWT untuk aku. Aku tahu DIA
sedang mengujiku. Aku tidak mahu menghebahkan berita ini kepada sesiapa. Tidak
kepada orang tuaku, dan tidak kepada isteriku. Biarlah aku pergi di dalam
keadaan yang tenang nanti.
Tapi.. Sebelum aku pergi, aku mohon
ya ALLAH.. Aku mohon supaya Engkau memberikan aku peluang untuk menunaikan
janjiku itu. Janji yang pernah aku lafazkan pada Ryea Farhanah. Aku tidak mahu
pergi dari dunia ini dengan janji yang tidak sempat aku tunaikan. Berilah aku
peluang itu ya ALLAH..
Seandainya engkau memberikan aku
peluang itu, aku pasti aku boleh pergi dari dunia ini dengan tenang. Aku pasti
aku akan membuatkan Ryea bahagia walaupun aku telah tiada lagi di dunia ini
kelak.
Semua terserah padaMu aku begini
adanya. Dan jika orang yang mencintai aku tahu mengenai hal ini aku tahu pasti
sulit bagi mereka. Aku bukan yang sempurna dari apa pun. Aku tak nak di
kasihani. Walaupun aku patut menerimanya. Biarkanlah aku dengan semua ini.
Kerana aku tahu aku tak layak untuk hidup lama di atas muka bumiMu ya ALLAH..
Ryea berhenti membaca. Airmatanya
tanpa sedar mengalir laju. Dia mengeluarkan pula beberapa surat yang telah
dilipat di dalam kotak itu. Sekali lagi dia terasa sesak! Hydil? Menghidap
kanser darah? Mengapa selama ini dia tidak mengetahui hal ini? Mengapa?
Airmatanya laju mengalir tanpa
henti. Patutlah Hydil bersungguh-sungguh. Adakah Faten tahu mengenai hal ini?
Dan oleh sebab itu Faten mahu dia menerima Hydil sebagai suami? Begitu? Ya
ALLAH… Ryea terasa bersalah. Terasa bersalah kerana selama ini dia menuding
segala kesalahan kepada Hydil sedangkan Hydil berusaha bermati-matian untuk
menunaikan janjinya.
Ketukan pintu yang bertalu-talu
membuatkan Ryea segera bergegas ke tingkat bawah. Dia yang masih lagi sedang
dilanda kesedihan itu melangkah pantas. Segera membuka pintu. Sebaik sahaja dia
membuka pintu, dia mendapati Faten dalam keadaan basah kuyup memandangnya tanpa
bicara. Hanya mata yang berbicara.
“A.. Abang… Abang accident!”
Kata-kata Faten itu membuatkan Ryea mengigil. Entah bagaimana, dia pengsan!
****
RYEA membuka kelopak matanya dengan
perlahan-lahan. Dia mendapati dia berada di atas katil. Dia memandang
sekeliling. Dia mahu bangun dari katil tersebut tetapi dia segera ditahan oleh
Faten. Ryea masih lagi berada di dalam keadaan yang lemah. Dua berita
mengejutkan diterimanya serentak! Pada malam yang sama!
“Faten.. Saya kat mana sekarang ni?”
Dengan perlahan Ryea bertanya. Faten menggengam erat jemari Ryea.
Dia juga
sedang dilanda kesedihan. Selama ini dia memendam rasa. Selama ini dia memendam
rahsia yang begitu besar sekali.
“Ryea ada kat wad sekarang ni.. Ryea
pengsan tadi,” lembut Faten memberitahu. Ryea memandang siling.
“Abang mana?” Hanya soalan itu yang
bermain di fikirannya sejak dari tadi. Faten diam tidak berkata-kata.
Dia tidak
tahu hendak memberi jawapan yang sesuai kepada Ryea ketika ini. Keadaan Ryea
juga tidak stabil ketika ini.
Ryea memandang Faten, memintanya
menjelaskan hal yang sebenar. “Abang.. Abang sekarang ada dekat ICU.. Abang kehilangan
banyak darah. Ditambah lagi dengan kanser darah yang dihidap oleh abang..”
Faten akhirnya menangis. Dia sudah tidak mampu menahan perasaannya.
Ryea cuba mengawal rasa sedihnya.
Meski begitu, airmatanya tetap mengalir tanpa henti. Ibarat empangan air yang
sudah pecah! Ryea memandang Faten, tajam. ” Selama ni Faten tahu mengenai
abangkan? Kenapa Faten tak pernah cerita pada saya? Kenapa Faten tak pernah
cerita yang abang ada penyakit tu?”
Faten menggeleng. “Kalau saya
beritahu Ryea pun, Ryea boleh buat apa? Penyakit abang tu bawa maut, Ryea! Jadi
cara saya untuk bantu abang cuma satu.. Dengan bantu dia tunaikan janji dia
pada awak dulu.. Salah ke cara saya ni?” Faten menekup wajahnya. Wajahnya
kelihatan sembap.
Ryea memegang tangan madunya itu.
Dia memandang wajah Faten seraya menggeleng. “Tak Faten, tak salah.. Tapi
sekurang-kurangnya kita berdua boleh sama-sama usahakan cari penawar untuk
penyakit abang..” Ryea mengeluh. Faten terdiam. Dia langsung tidak terfikirkan
hal itu. Lagi pula, apa yang dia ketahui kanser darah sememangnya membawa maut
dan amat payah sekali untuk ditemui penawarnya. Oleh sebab itu dia menemui
jalan buntu.
“Tak apalah, kita sama-sama berdoa
supaya abang tak apa-apa..” Ryea menahan sebak. Bibir Faten bergerak-gerak,
seakan-akan mahu memberitahu sesuatu. Tetapi niatnya itu dikuncikan. Ryea dapat
menangkap gerak bibir Faten itu, dengan segera dia bertanya.
Tetapi Faten bijak mengelak. Dia
tidak mahu menceritakan segala-galanya. Biarlah perkara itu menjadi rahsia bagi
dirinya. Belum sempat Ryea mendesak madunya itu membuka mulut sekali lagi,
kelibat Puan Eimma kelihatan menghampiri mereka.
Langkah Puan Eimma terhuyung-hayang.
Seakan sudah tiada tenaga lagi. Faten segera bangun dari kerusi dan bergegas
mendekati ibu mertuanya itu. Puan Eimma menggeleng-geleng kepalanya. Dia
memegang kepalanya dan mengucap panjang. Dengan tiba-tiba jantung Ryea berdegup
kencang. Dia dapat merasakan sesuatu. Adakah….
“Ibu, kenapa ni ibu?” Fatin cuba
bertanya.
Puan Eimma tidak dapat berkata-kata.
Lidahnya kelu. Pahit sungguh kenyataan ini. Sukar sungguh untuk dia menerima
kenyataan ini. Mengapa? Mengapa tiba-tiba? Mengapa semuanya berlaku sekelip
mata? Puan Eimma akhirnya mencurahkan airmatanya yang sedari tadi bertakung
sejak dia menunggu di luar wad ICU lagi.
Faten membantu ibu mertuanya menapak
ke katil. Ryea juga sudah mula rasa lebih kuat. Mereka berdua memeluk Puan
Eimma. Puan Eimma menarik nafas sedalam-dalamnya. “Faten, Ryea… Ibu nak kamu
berdua terima semua ni..”
Faten dan Ryea berpandangan sesama
sendiri. Mereka mengetap bibir. Walau pahit kenyataan ini, mereka harus
menghadapinya dengan tenang. Mereka mengangguk-angguk. Bibir Puan Eimma kelu.
“Hydil… Hydil baru tinggalkan kita
lima belas minit yang lepas…” Puan Eimma tidak dapat menahan kesedihannya.
Airmatanya jatuh mencurah-curah bagaikan hujan yang turun. Sementara di luar
pula, hujan turun dengan lebatnya. Seakan turut sama menangisi kesedihan yang
dialami oleh seorang ibu.
Sementelah, Ryea dan Faten diam
tidak bereaksi. Mereka kehilangan kata-kata. Mereka hanya diam. Lama mereka
begitu, sehinggalah Puan Eimma memberitahu tentang hal itu sekali lagi. Kali
ini, airmata Ryea turun tanpa henti. Begitu juga dengan Faten. Dalam sekelip
mata, mereka kehilangan suami yang dicintai.
Dalam masa sehari sahaja, dia sudah
menjadi balu! Ryea menangis semahunya. Jika diikutkan, mahu sahaja dia
menamatkan riwayat hidupnya sekarang juga! Jika diikutkan, mahu sahaja dia
mengikuti Hydil! Enam tahun dia menunggu lelaki itu, dan ketika mereka sudah
sah menjadi suami isteri, lelaki itu pula pergi meninggalkannya? Di saat mereka
mahu menyemai semula benih cinta mereka? Di saat mereka hendak melakar bahagia?
Ryea terduduk. Terngiang-ngiang
senyuman suaminya dan juga kata-kata akhir sebelum suaminya itu keluar dari
rumah.
“Jangan tunggu abang…” Kata-kata
itulah yang membuatkan Ryea dilanda kesedihan. Dan aneh sekali apabila Hydil
mencium dahinya lama. Seakan tidak mahu melepaskan lagi. Seakan tahu dia akan
pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Dunia yang sementara.
Faten pula sudah tidak mampu
mengeluarkan airmatanya. Matanya juga kelihatan bengkak kerana terlalu banyak
mengeluarkan airmata. Dia pantas mendekati Ryea dan mengeluarkan sesuatu dari
beg tangannya. Sekeping sampul surat. Adakah surat itu dari Hydil? Ryea
tertanya-tanya.
“Ryea.. Saya harap kita dapat terima
semua ni dengan tabah. ALLAH lebih sayangkan abang.. Kita berdoa supaya abang
ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman..” Di dalam sendu, Faten
mengucapkan. Ryea memandang wajah Faten itu dan sampul surat yang berada di
dalam genggaman tangan Faten itu beralih tangan.
“Ini surat dari abang Hydil.. Abang
ada pesan pada saya selepas Ryea dan abang sah jadi suami isteri semalam. Saya
dah beritahu abang yang saya tahu segala-galanya tentang penyakit abang.. Dan
abang minta saya rahsiakan.. Jadi, petang semalam.. Dia ada tulis surat ni..
Dia minta saya serahkan pada Ryea andai kata dia dah tak ada lagi nanti…” Faten
melanjutkan kata-katanya.
****
Imbas kembali…
FATEN terdiam. Wajah suaminya itu
dipandang sekali lalu. Dia tahu suaminya itu ingin mendengar penjelasan
darinya. Hydil memegang tangan Faten dan sekali lagi memandang isterinya dengan
renungan yang tajam.
“Abang tahu mesti Faten tahu
sesuatu, kan?” Hydil cuba meneka. Faten menunduk ke bawah. Tidak berani
bertentang mata dengan suaminya itu. Kenyataannya, dia memang mengetahui
sesuatu.
Faten menggeleng. “Tak ada.. Tahu
apa? Faten tak tahu apa-apa..” Faten berbohong. Hydil merapati Faten dan
memegang kedua-dua pipi isterinya itu. Dia meminta isterinya itu memandang
terus ke matanya. Faten cuba mengelak, tetapi dia gagal berbuat begitu. Tenaga
lelaki Hydil lebih kuat darinya.
“Tengok abang.. Kalau Faten tahu
mengenai abang.. Faten beritahu.. Faten nak tipu abang? Faten tak kesiankan
abang?” Hydil mendesak. Faten menelan liur.Dia memegang keduua-dua tangan Hydil
yang masih lagi berada di pipinya itu.
“Kenapa abang tak beritahu saya
tentang ni? Kenapa abang sanggup rahsiakan semua ni?” Airmata Faten mengalir
perlahan. Titisan itu mengalir ibarat mutiara. Hydil mengeluh. Airmata
isterinya itu diseka lembut.
“Abang tak nak bebankan sesiapa.
Abang tak nak susahkan hati sesiapa.. Ni semua salah abang.. Abang tak patut
tinggalkan nota tu dalam almari..” Hydil mengeluh lagi. Faten menggengam jemari
suaminya dengan erat.
“Abang tak salah.. Abang sepatutnya
tahu yang ramai sayangkan abang. Abang sepatutnya tahu yang abang bukan
keseorangan. Kami semua ada untuk abang. Macam mana kalau Ryea tahu tentang hal
ni?” Faten menyuarakan kegelisahannya. Hydil menggeleng-geleng.
“Ryea takkan tahu tentang hal ni..
Faten kena pastikan Ryea tak tahu tentang semua ni.. Boleh? Janji dengan
abang..” Hydil menghulurkan jari kelingkingnya untuk ditaut bersama dengan jari
milik Faten. Faten terdiam.
Mampukah dia merahsiakan hal ini
dari pengetahuan madunya itu? Mampukah dia terus mendiamkan diri tentang
penyakit yang dihidapi oleh Hydil itu? Dan mampukah dia terus berpura-pura?
Faten buntu.
“Faten? Janji ya?” Hydil bersuara
lagi. Faten tersentak.
“Abang nak rahsiakan hal ni dari
pengetahuan Ryea sampai bila abang?” Keluhan yang bertali arus dilepaskan.
Hydil tersenyum manis.
“Sampai abang pergi menghadap ALLAH
SWT..” Kata-kata Hydil itu membuatku jantung Faten tersentap! Sungguh, meskipun
kematian itu merupakan satu kepastian bagi umat manusia tetapi Faten tidak mahu
suaminya itu mengungkapkan tentang kematian. Dia tidak bersedia. Dia tidak
bersedia kehilangan lelaki bernama Hydil Rafael itu!
Baginya, Hydil seorang lelaki yang
baik.. Cuma.. Alangkah indahnya andai… Faten lantas membisukan dirinya. Diam
lebih baik dari berbicara ketika ini. “Kenapa abang cakap macam tu? Abang tahu
abang ada harapan sembuhkan?”
Hydil menggeleng. “Abang ada kurang
dua bulan lagi.. Abang dapat tahu tentang penyakit abang ni pun baru bulan
lepas. Dan sebab tu juga abang tekad nak cari Ryea. Abang tak nak abang mati
dalam keadaan yang mengaibkan disebabkan abang tak tunaikan janji abang pada
Ryea dulu..”
“Abang tak sangka Faten dapat tahu
juga tentang hal ni, walaupun abang dah berusaha sembunyikan rahsia ni dari
sesiapa. Patutlah senang aje Faten beri kebenaran pada abang untuk berkahwin
lagi, kan? Kalau ikutkan, memang Faten tak izinkan abang berkahwin lagi.. Betul
tak?” Hydil tersenyum manis. Faten mengangkat wajah. Dia memandang wajah
suaminya itu, lelaki itu cuba mengawal kesedihannya. Lelaki itu cuba mengawal
airmatanya dari tumpah.
Faten terus memeluk suaminya itu.
Dia tahu pasti begitu perit penderitaan yang dialami oleh suaminya itu untuk
merahsiakan hal ini. Dan dia tahu, pasti payah buat Hydil untuk menanggung
kesakitannya itu seorang diri.
“Apa saja demi kebahagiaan abang..
Saya sanggup buat apa saja..” Ucap Faten, diiringi sendu. Hydil tersenyum, dia
sudah tidak dapat menampung airmatanya yang sudah kian bertakung sedari tadi
itu.
Airmata lelakinya itu akhirnya
tumpah juga. Membasahi pipi. Hydil mencium dahi isterinya. “Terima kasih
Faten.. Terima kasih sebab memahami abang.. Abang sayangkan Faten..”
“Abang nak Faten serahkan surat ni
kepada Ryea bila abang dah tak ada lagi.. Abang terfikir untuk minta bantuan
kawan abang.. Tapi memandangkan Faten dah tahu, abang minta tolong Faten ya?
Tolong serahkan surat ni pada Ryea bila abang dah tak ada lagi..” Airmata Hydil
menitis lagi.
****
Langit begitu gelap, hujan juga tak
kunjung reda
Ku harus menyaksikan cintaku
terenggut tak terselamatkan
Ingin ku ulang hari, ingin ku
perbaiki
Kau salah,kau kubutuhkan
Beraninya kau pergi dan tak kembali
Dimana letak surga itu
Biar kugantikan tempatmu denganku
Adakah tanda surga itu
Biar kutemukan untuk bersamamu
Kubiarkan senangku menari di udara
Biar semua tahu kematian tak
mengakhiri
cinta..
Apalah artinya hidup tanpa kekasihku
Percuma bila aku disini sendiri
Kekasihku, bersamamu
RYEA hanya membatukan dirinya.
Cerita yang disampaikan oleh Faten sebentar tadi benar-benar mengguris jiwanya.
Ternyata selama ini Hydil cuba menjejaki dirinya. Bahkan Hydil tidak pernah
melupakannya walau sedetik pun. Selama ini dia menyangka lelaki itu sudah
melupakannya. Selama ini dia menyangka lelaki itu melupakan janjinya. Tetapi..
Lelaki itu sanggup melakukan apa sahaja demi mematuhi janjinya. Ryea terasa
sebak.
“Ryea.. Abang memang sangat
sayangkan Ryea. Disebabkan dia tak sanggup nak mungkiri janji dia pada Ryea,
dia belum pernah sentuh saya sampai sekarang..” Ryea mengangkat wajahnya. Dia
seakan tidak mempercayai kata-kata Faten itu. Adakah Faten sekadar mereka
cerita?
Faten mengangguk. “Betul.. Abang
Hydil tak pernah sentuh saya.. Dia kahwin dengan saya sebab dia nak jaga saya.
Walaupun sebenarnya dia cuba belajar mencintai saya, tetapi dia gagal. Dia
gagal membuang bayangan Ryea dalam hati dia.. Abang Hydil cuma anggap saya
sebagai adiknya selama ni.. Tak lebih dari tu..”
Ryea menangis lagi. Sehingga
sebegitu sekali kesetiaan Hydil padanya. Dia tidak menyangka Hydil setia
terhadapnya sehingga tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami terhadap
Faten. Ryea berasakan dunianya sudah haru-biru. Mengapa?
Mengapa baru sekarang ini dia
mengetahui segalanya? Mengapa baru sekarang dia mengetahui kesetiaan suaminya
itu? Mengapa baru sekarang? Ketika suaminya itu sudah tiada lagi di dunia ini.
Ketika rohnya sudah terpisah dari jasad. Segala penyesalan sudah tidak bermakna
lagi. Yang tinggal kini hanyalah jasad suaminya sahaja, yang tidak lama lagi
akan dimandikan, dikapankan, disolatkan dan dikebumikan.
Hujan masih lagi turun membasahi
bumi. Hujan masih lagi lebat di luar sana. Sementelah Ryea sudah tidak bermaya.
Begitu juga dengan Faten, tetapi Faten lebih kuat. Dia dapat menerima kenyataan
ini kerana dia tahu setiap yang bernyawa di atas muka bumi ini adalah milik
yang Esa. Milik ALLAH SWT. Lantas, apa hak yang ada pada manusia untuk
mempertikaikan tentang qada dan qadar yang telah ditentukan olehNya?
Ryea mengeluarkan telefon bimbitnya,
gambar milik suaminya itu ditatap lama. Senyuman yang manis seolah-olah
dihadiahkan hanya buatnya seorang. Benar. Ternyata cinta yang ada di dalam hati
Hydil itu hanya buatnya seorang. Tidak ada buat yang lain.
Derai airmatanya membasuh hati dan
dia begitu terluka saat Hydil meninggalkannya. Cinta putih yang diberikan oleh
suaminya itu tidak sempat diungkapkan. Mengisi kehampaan hatinya sendiri. Dia..
Menangisi kepergian Hydil, dengan rela.
Ryea membuka sampul surat tersebut.
Dia menggigil ketika mengeluarkan isi surat tersebut. Sekeping gambar suaminya
yang sedang tersenyum turut terselit di dalam sampul surat tersebut.
Assalamualaikum buat isteri abang
yang disayangi.. Abang tak ada banyak masa untuk tuliskan surat yang puitis dan
romantik untuk isteri abang. Abang cuma mampu tuliskan apa yang abang rasa dari
hati. Maafkan abang kalau surat ni nanti buatkan Ryea benci abang..
Selama enam tahun abang cuba jadi
lelaki setia, hanya untuk wanita kesayangan abang. Selama enam tahun juga abang
cuba mengenali diri abang sendiri. Abang tanya diri abang.. Siapa yang abang
sayang? Siapa yang abang cinta.. Dan selama enam tahun itu, hanya ada satu nama
yang bermain di dalam hati abang.. Hanya ada satu nama dalam hati abang.. Ryea
Farhanah..
Enam tahun lalu, Ryea masih
ingatkan? Ryea masih ingat abang pernah beri Ryea jam. Abang kata abang nak
gari tangan Ryea dan abang nak gari hati Ryea. Memang waktu tu abang terlalu
takut. Abang takut abang akan kehilangan Ryea. Abang takut Ryea berpaling
tadah. Abang takut Ryea lupakan. Enam tahun Ryea, enam tahun.. Banyak benda
boleh berlaku dalam enam tahun tu, dan tak mustahil Ryea boleh berkahwin dengan
orang lain disebabkan janji kita hanya pada mulut, tak ada hitam putih. Dan
sebab tu abang takut. Tapi abang percaya.. Abang percaya pada Ryea. Abang
percaya Ryea akan setia pada abang. Abang percaya Ryea tak semudahnya lupakan
abang. Agak-agaknya Ryea macam tu juga ke? Ryea percaya tak pada abang? Ryea
rasa abang masih ingat janji abang pada Ryea tak?
Airmata Ryea menitis lagi. Begitu
besar sekali kepercayaan Hydil padanya. Lelaki itu begitu mempercayainya.
Sedangkan dia? Dia menuduh lelaki itu mendustai janji mereka saat terpandang
lelaki itu bersama dengan Faten dahulu. Rasa sendu itu masih berbalas, sehingga
kini. Menghantui jiwa sehingga sekarang. Ryea kembali membaca surat tersebut.
Dia tidak mampu hendak meneruskan pembacaannya. Emosinya goyah.
Ryea, abang nak Ryea ingat sampai
bila-bila yang abang cintakan Ryea. Abang sayangkan Ryea. Dalam hati abang,
abang tak pernah lupakan Ryea. Dan abang berkahwin dengan Faten bukan sebab
abang lupa pada Ryea. Abang mahu tolong Faten. Tapi percayalah, abang cuma
anggap Faten sebagai adik abang. Tak lebih dari tu.. Alhamdullilah, Faten faham.
Dan dia tak pernah mendesak abang untuk terima dia seadanya.
Ryea, seandainya abang dah sakitkan
hati Ryea. Abang dah lukakan hati Ryea selama abang bernafas di atas bumi ALLAH
ini, abang harap sangat Ryea boleh maafkan abang. Abang harap sangat yang Ryea
akan ingat pengorbanan abang yang sanggup tunggu Ryea terima semula abang dalam
hidup Ryea sampai basah lencun baju abang. Ryea ingatkan? Abang
tahu, waktu tu Ryea kecewa dengan abang. Tapi abang lagi kecewa bila tahu Ryea
kecewa.. Kebahagiaan abang, kebahagiaan Ryea. Dan kekecewaan Ryea , kekecewaan
abang. Ryea fahamkan maksud abang?
Dan sekarang ni, janji yang kita
lafazkan dah sempurna. Bersaksikan bumi dan tujuh petala langit tinggi.. Abang
pasti akan merasai cinta yang suci dari Ryea. Ryea kena tahu yang Ryealah
rohani abang yang mengalir di dalam jiwa. Dan Ryea juga Nur yang berkilauan
bercahaya. Setiap nafas yang abang hela, hanya nama Ryea abang sebut. Cuma Ryea
yang satu. Ujian yang terbentang buat abang ni, abang sanggup hadapi. Yang penting
abang dan Ryea disatukan.
Setiap hari abang cari, dan setiap
hari abang tanya.. Cuma nama Ryea yang abang sebut. Bila abang tidur, cuma ada
Ryea. Bila abang bangun, cuma ada Ryea. Itu yang abang harapkan selama ini. Itu
kasih yang abang harapkan selama ini. Kini, Ryea abang dah miliki. Nama, rupa
dan cara.. Bersatu jasad, dan nyawa, kita serupa. Kalau Ryea dengar lagu
Samudera-Silaturahim, Ryea akan tahu perasaan sayang abang pada Ryea. Dan kalau
Ryea nak tahu betapa tingginya nilai cinta abang pada Ryea, abang sarankan Ryea
hayati lirik Sampai Menutup Mata.. Ryea tahu lagu tu kan? Kita selalu nyanyi
sama-sama dulu.. Supaya lagu tu jadi peneman Ryea nanti.
Ryea, kalau abang tahu bila malaikat
Izrail akan ambil nyawa abang.. Abang pasti akan mohon pada ALLAH supaya
dipanjangkan lagi umur abang ni. Abang mohon supaya abang mendapat satu lagi
peluang untuk bahagiakan Ryea. Sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi..
Sampailah kita ada cahaya mata. Ryea tak mahu ke semua tu? Itulah yang abang
idamkan sejak dulu.
Hanya itu saja yang abang nak
katakan pada Ryea. Semoga Ryea tak lupakan abang, walaupun kematian memisahkan
kita. Abang nak Ryea tahu yang abang cintakan Ryea sangat-sangat. Kasih Ryea
tak akan dapat abang cari ganti. Semoga kita bertemu di sana nanti..
InsyaALLAH..
Salam terakhir dari suamimu,
Hydil Rafael.
Surat yang dibaca olehnya itu
akhirnya terlepas dari tangan. Ryea meraung seolah-olah telah hilang
segala-galanya. Melihat keadaan menantunya itu, Puan Eimma segera mendekati
Ryea. Dia tahu, kesedihan yang dialami Ryea itu amat perit. Tetapi sebagai ibu,
dia juga terasa kesedihan itu.
“Ryea.. Ryea kena relakan walaupun
payah rela. Kita bersabar ya..” Puan Eimma memeluk menantunya itu. Ryea
menangis tersedu-sedan.
Kisah cintanya berakhir begitu sahaja.
Kasih yang diharapkannya selama ini akhirnya berakhir seperti ini. Benarlah apa
yang Hydil katakan dahulu. Tiada sesiapa dapat memisahkan mereka berdua.. Hanya
ALLAH SWT sahaja yang mampu memisahkan mereka. Kematian satu kepastian. Cinta
Hydil buatnya dibawa hingga ke liang lahad.
Allah berfirman lagi: “Di bumi itu
kamu hidup dan situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan
(dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)”.~ Al-A’raaf 7:25
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment